Selasa, 11 November 2008

Sentral: Pengetua 'sorok' masalah disiplin pelajar ditegur

Oleh Jaafar Mulup


TAMPIN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri meminta pihak sekolah, terutama guru besar dan pengetua tidak melindungi salah laku pelajar mereka kononnya untuk menjaga nama baik sekolah kerana sebaliknya ia akan menimbulkan lebih banyak masalah.

Beliau berkata, perbuatan melindungi salah laku dan kesalahan disiplin boleh menyebabkan pelajar terus dengan sikap negatif itu kerana menganggap pihak sekolah takut mengambil tindakan.

"Setiap salah laku pelajar perlu dilaporkan kepada pihak atasan seperti pegawai pelajaran peringkat daerah dan negeri," katanya, ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Gemilang Pelajaran Daerah Tampin di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Tampin (SMKTBT), di sini.

Tunku Syed Razman berkata, tugas guru bukan saja untuk melahirkan modal insan berilmu, tetapi mencakupi semua bidang, termasuk melindungi pelajar daripada terbabit dalam masalah sosial dan usaha itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau juga menasihatkan guru supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama serta mempunyai akhlak yang mulia kerana anugerah kecemerlangan yang diterima tidak akan membawa makna sekiranya guru tidak berpengetahuan dalam bidang agama dan tidak bermoral.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Jamali Salam, berkata Anugerah Gemilang yang diperkenalkan Pejabat Pelajaran Daerah Tampin bertujuan mengiktiraf sumbangan sekolah, guru dan pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Anugerah Gemilang Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dimenangi SMKTBT yang diterima Pengetuanya, Mohd Md Isa pada majlis itu yang turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Tampin, Md Aris Aziz serta wakil Pegawai Daerah Tampin, Siti Musliani Abd Ghani.

Berita Harian Online: 10 November 2008

Tiada ulasan: