Jumaat, 21 November 2008

Tiada guru SBP cemerlang

WATIKAH pelantikan Guru Cemerlang DG 44, DG 48 dan DG 52 sudah disempurnakan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 30 Oktober lalu.

Malangnya di antara mereka yang dilantik tiada seorang pun Guru Cemerlang DG 44 dan 48 dari kalangan guru Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Guru yang mendapat pelantikan Guru Cemerlang berkenaan semuanya guru sekolah harian dan guru sekolah menengah teknik (SMT).

Permohonan ke jawatan itu dibuat semua guru terbabit pada masa sama. Bagi guru SBP, permohonan ke jawatan itu dibuat melalui Sektor Sekolah Berasrama Penuh seawal Ogos 2007. Selepas hampir setahun berlalu, pengemaskinian maklumat berkaitan permohonan ke jawatan berkenaan, kemudian dibuat pada Julai 2008.

Apa yang menjadi tanda tanya, bagaimanakah proses penilaian dijalankan? Apakah kriteria yang diperlukan untuk dilantik ke jawatan Guru Cemerlang berkenaan yang menyebabkan tiada seorang pun daripada kalangan guru SBP dilantik ke jawatan berkenaan?

Masalah ini tidak berlaku kepada pelantikan Guru Cemerlang DG 52 sedangkan permohonan kumpulan ini hanya dibuat pada tahun semasa iaitu 2008.

Apakah kaedah Indeks Utama Pencapaian (KPI) untuk lantikan ke jawatan Guru Cemerlang DG 44 dan DG 48? Adakah ia berbeza antara guru di SBP atau sekolah harian ataupun guru SMT? Apakah kurangnya sumbangan guru SBP sebagai pendidik yang berkhidmat di Sekolah Berasrama Penuh?

Saya membuat semakan dengan Bahagian Sumber Manusia untuk status permohonan saya sebagai seorang guru SBP yang memohon. Maklum balas yang diberikan adalah permohonan Guru Cemerlang DG 44 dan 48 dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir September 2008 dan akhir Oktober 2008.

Ini bermakna pelantikan ke jawatan itu untuk semua guru yang mengajar di SBP adalah pada tarikh yang terkemudian berbanding guru dari sekolah harian dan SMT yang dilantik pada Jun 2008 sedangkan permohonan dibuat pada masa sama.

GURU SBP
INGIN TAHU,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 20 November 2008

Tiada ulasan: