Sabtu, 15 November 2008

SMK Kidurong dedahkan guru kaedah pengajaran berkesan


PESERTA bengkel berbincang sambil menyiapkan bahan bantu mengajar yang diperoleh daripada akhbar Berita Harian.

INISIATIF Sekolah Menengah Kebangsaan Kidurong, Bintulu, Sarawak mendedahkan guru sekolah itu mengenai konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) bertujuan mempelbagaikan kaedah mengajar, selain meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kalangan peserta.

Menerusi bengkel anjuran Pusat Sumber Sekolah dengan kerjasama Berita Harian itu, peserta diberi peluang menggunakan daya kreativiti masing-masing bagi menghasilkan bahan bantu mengajar berdasarkan akhbar berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa pelaksana yang juga pemangku Pengetua sekolah itu, Azizah Sazalie, berkata sewajarnya guru menguasai pedagogi termasuk pendekatan pengajaran yang pelbagai supaya suasana pembelajaran dalam kelas sentiasa aktif, penuh kreativiti dan tidak membosankan.

Katanya, akhbar dapat membantu guru melaksanakan proses P&P dengan lebih berkesan dan menerusinya penerangan disampaikan lebih mudah apabila disertai dengan contoh yang boleh diperoleh daripada akhbar seperti berita, rencana, iklan dan gambar.

“Walaupun kelas kini disediakan peralatan moden serta canggih, bahan akhbar tetap relevan dan penggunaannya mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap topik yang dibincangkan,” katanya.

Pada bengkel julung kali itu, seramai 40 guru sekolah berkenaan mengikuti program yang dikendalikan Pengarang Berita Pendidikan, Tamrin Anuar.

Peserta bengkel, Haryati Mustafa, berkata dia mendapat banyak input baru mengenai kaedah P&P menggunakan konsep ADD yang dipelopori Berita Harian itu.

Katanya, pendekatannya memang menarik dan dapat membantu guru meningkatkan keberkesanan pengajaran dalam bilik darjah, selain menanam minat membaca di kalangan pelajar.

Berita Harian Online: 14 November 2008

Tiada ulasan: