Rabu, 26 November 2008

Lewatkan peperiksaan bendung pelajar ponteng

Langkah melewatkan peperiksaan akhir tahun di sekolah seluruh negara berjaya mengekang masalah pelajar ponteng dalam tempoh berkenaan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, masalah ponteng yang lazim berlaku menjelang cuti akhir tahun persekolahan sebelum ini, ternyata kurang dilaporkan sekarang, termasuk dalam akhbar.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan permintaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) supaya peperiksaan akhir tahun diadakan lebih awal atas alasan kelewatannya membebankan kerja guru, terutama di sekolah menengah.


"Dulu ibu bapa mahu peperiksaan (diadakan) dekat dengan cuti (akhir tahun) supaya anak mereka belajar. Sekarang apabila sudah didekatkan, timbul pula masalah guru.

"Justeru, kementerian akan memberi perhatian terhadap perkara ini. Kita perlu mempertimbang kedua-dua aspek berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Nasional Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2008 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Presiden KGGMB, Mohd Sabri Arsad, sebagai meminta kerajaan membenarkan peperiksaan akhir tahun diadakan lebih awal kerana kelewatannya menjejas dan juga membebankan kerja guru, terutama di sekolah menengah.

Mohd Sabri berkata, langkah berkenaan juga bertujuan memberi masa sesuai kepada sekolah untuk membuat persediaan perancangan sesi persekolahan baru.

Kementerian Pelajaran mengambil langkah mengadakan peperiksaan akhir tahun pada minggu-minggu terakhir sesi persekolahan, tahun ini, berikutan laporan meluas tahun lalu mengenai masalah pelajar ponteng serta membuang masa dengan kegiatan tidak berfaedah, termasuk melepak dan berpeleseran di ibu kota, selepas menduduki peperiksaan.

Berita Harian Online: 26 November 2008

Tiada ulasan: