Jumaat, 14 November 2008

PPSMI Tidak Gagal, Kata Hishammuddin

KOTA BAHARU, 13 Nov (Bernama) -- Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, beliau bangga dengan keputusan itu kerana jumlah calon yang lulus dalam semua subjek adalah tinggi walaupun jumlah calon yang mendapat 5A berkurangan sedikit.

"Ini bukti PPSMI ini tidak gagal tetapi saya tidak katakan dasar ini sudah lengkap atau tepat dan ia boleh diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas desakan termasuk daripada tokoh akademik yang mahukan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam Bahasa Malaysia bagi mengelakkan bahasa itu terpinggir.

Pada pengumuman keputusan UPSR hari ini, seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom ketika mengumumkannya berkata keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia merupakan satu kebanggaan kementerian.

"Jauh sekali untuk kita meminggirkan Bahasa Malaysia ini tetapi pada masa yang sama apa yang Kementerian lakukan adalah mahukan pelajar turut mempraktikkan Bahasa Inggeris demi masa depan mereka," katanya.

Hishammuddin berkata rumusan terhadap keputusan UPSR itu akan dibawa ke persidangan meja bulat yang akan diadakan nanti dan dibentangkan kepada anggota persidangan itu sebelum dibawa ke Kabinet.

"Dasar ini boleh ditukar tetapi saya mahukan semua pihak bersepakat dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak selepas ini. Apa pun juga saya minta semua pihak tidak beremosi dalam menyuarakan pendapat," katanya.

Beliau berkata tujuan utama kementeriannya juga adalah merapatkan jurang perbezaan antara tahap pembelajaran pelajar sekolah rendah di bandar dan luar bandar kerana kementerian telah menyediakan yang terbaik agar pelajar di luar bandar mampu berada pada tahap sepatutnya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran juga sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir di beberapa negeri yang lazimnya menghadapi bencana itu.

Katanya kementerian itu akan turut sama membantu pihak berkuasa dalam menyediakan tempat perpindahan serta memberikan khidmat kaunseling kepada pelajar terbabit.

"Kita sudah lancar unit khas di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan dan unit ini akan membantu dalam bentuk lain seperti khidmat kaunseling kepada pelajar terbabit dengan banjir," katanya.

Beliau juga berkata kementerian akan memastikan mana-mana bangunan yang dikategorikan sebagai tidak selamat untuk digunakan akan dibaiki segera bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini kepada pelajar.

BERNAMA: 13 November 2008

Tiada ulasan: