Rabu, 26 November 2008

Timur: Guru baru mengajar di pedalaman

KOTA BHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan akan menempatkan semua guru yang baru bertukar mengajar di negeri ini ke sekolah pedalaman seperti di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Pengarahnya, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata melalui pendekatan ini, JPN Kelantan yakin ia mampu mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bagi guru yang menghidap penyakit kronik atau uzur dari segi kesihatan, JPN Kelantan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tidak ditempatkan di sekolah kawasan berkenaan.

"Sudah menjadi pendekatan JPN Kelantan untuk menghantar guru baru bagi mendapat pengalaman dengan mengajar di kawasan pedalaman seperti di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli untuk tempoh tertentu.

"JPN Kelantan mendapati melalui kaedah itu, ia berkesan dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru di daerah tertentu, sekali gus menjaminkan masa depan pelajaran murid serta pelajar di kawasan berkenaan," katanya di sini, semalam.

Mohd Ghazali berkata, pada peringkat awal, mungkin ia tidak akan memberi keselesaan kepada guru berkenaan memandangkan banyak kekurangan yang terpaksa dihadapi, namun suasana akan berubah apabila beberapa bulan berkhidmat di situ.

Katanya, penghantaran guru berkenaan yang sudah berpengalaman dalam mata pelajaran tertentu khususnya bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dapat membantu JPN Kelantan meningkatkan pencapaian pelajar serta murid di sekolah terbabit.

"JPN Kelantan ingin mengimbangi tahap pendidikan di kalangan pelajar dan murid di kawasan berkenaan terutamanya yang membabitkan anak Orang Asli," katanya.

Beliau berharap guru yang terpilih mengajar di negeri ini terutama anak tempatan, tidak akan mempersoalkan tempat mereka ditempatkan mengajar kerana itu adalah amanah serta tanggungjawab yang diberikan kerajaan dalam mendidik rakyat.

Berita Harian Online: 26 November 2008

Tiada ulasan: