Rabu, 12 November 2008

PTK: 167,445 guru naik pangkat

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seramai 167,445 guru dan 18,193 kakitangan bukan guru yang menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada sesi Ogos lalu akan menerima kenaikan pangkat sekiranya memenuhi lima syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Korporat kementerian itu, syaratnya ialah mencapai tahap prestasi yang ditetapkan, bebas tindakan tata tertib, lulus pengisytiharan harta, lulus tapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan bebas disenarai hitam sebagai peminjam tegar pendidikan.

Menurutnya, berdasarkan kepada keputusan kursus PTK kohort tujuh dan lapan Bilangan 1/2008 mendapati seramai 347 guru Gred DG52 memenuhi satu daripada syarat untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat ke Gred DG54.

''Seramai 2,161 calon yang menduduki ujian ulangan akhir kursus (UAK) dan 1,495 calon yang mengulang kertas tugasan khas (KTK) juga layak dipertimbangkan ke gred yang lebih tinggi setelah memenuhi lima syarat itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, seramai 214,875 guru dan kakitangan bukan guru yang menduduki peperiksaan PTK pada sesi Ogos lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding Mac lalu apabila 185,638 calon atau 86.4 peratus mendapat keputusan melepasi tahap kecekapan (MTK).

Katanya, seramai 167,444 daripada 191,584 guru yang menduduki peperiksaan PTK pada sesi Ogos lalu, mendapat keputusan MTK iaitu di aras tiga dan empat manakala 23,291 lagi bagi kakitangan bukan guru.

''Lembaga Penilaian Kompetensi Kementerian Pelajaran (LPKKPM) yang bermesyuarat pada 24 Oktober lalu, meluluskan keputusan PTK bagi calon guru Gred DG52 yang menduduki kursus PTK kohort tujuh dan lapan dan calon yang menduduki UAK dan KTK yang diadakan pada Jun lalu," jelasnya.

Katanya, calon boleh menyemak menerusi laman web Majlis Peperiksaan Malaysia atau mengambil slip keputusan di sekolah bermula 30 Oktober lalu, kerana keputusan peperiksaan PTK sesi Ogos 2008 telah dikeluarkan secara rasmi.

Utusan Malaysia Online: 11 November 2008

Tiada ulasan: