Sabtu, 15 November 2008

Tak jejas prestasi UPSR

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad



SERAMAI 19 pelajar Tahun Enam yang mendapat 5A dalam UPSR menerima habuan wang tunai RM100 daripada pihak sekolah dan PIBG SK Sultan Ismail IV Kota Bharu, semalam.

Selepas enam tahun Matematik, Sains diajar dalam bahasa Inggeris halang calon

KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Seramai 518,616 calon menduduki UPSR tahun ini dan mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu.

Hishammuddin berkata, sebelum ini sekolah yang gagal biasanya di pedalaman atau luar bandar serta daif, tetapi tahun ini sekolah di kawasan berkenaan turut mencatat kejayaan.

“Ini menunjukkan agenda merapatkan jurang digital tercapai, sekali gus menjayakan matlamat saya untuk ‘meratakan padang permainan’ tadi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sama ada PPSMI akan terus dilaksanakan bukan semata-mata bergantung kepada keputusan peperiksaan itu kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian menyeluruh.

"Kementerian sedang meneliti keputusan UPSR dan akan dibentangkan ke mesyuarat meja bulat sebelum sebarang kata putus dibuat. Kita mengambil pendekatan yang realistik dengan mendengar pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik serta ahli politik termasuk pembangkang.

"Saya tidak mahu bersandarkan kepada emosi atau rasional yang tidak berpijak di bumi nyata dalam membuat keputusan mengenai PPSMI kerana yang akan menjadi mangsa adalah anak kita nanti," katanya.

Berita Harian Online: 14 November 2008

Tiada ulasan: