Sabtu, 29 November 2008

Bayaran yuran tambahan PIBG boleh ditangguh

Oleh Anwar Hussin, Nor Azma Laila, Nahar Tajri dan Khairul Azran Hussin

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, semua ibu bapa tidak lagi perlu membayar yuran tambahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada awal sesi persekolahan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan memutuskan supaya ibu bapa boleh menangguhkan bayaran yuran tambahan itu sehingga pertengahan sesi dan langkah itu diharap mampu mengurangkan beban mereka.

Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas menimbangkan beberapa faktor terutama kelembapan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

"Melalui langkah ini PIBG dan ibu bapa akan diberikan mandat dan peluang menentukan jumlah yang akan dikutip. Selain mengurangkan beban, ia juga selaras usaha kementerian untuk mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam membangunkan sistem pendidikan negara.

"Kita memikirkan pendekatan terbaik untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa pada awal sesi persekolahan dan selepas berbincang kita dapati pendekatan ini adalah yang terbaik," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia, Carlos Alfredo di Parlimen.

Katanya, beliau berharap PIBG tidak menjadikan keputusan kerajaan itu sebagai satu isu kerana pada masa sama kementerian juga terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

"Kita tidak mahu mewujudkan suasana yang tidak sedap didengar kerana kita sudah memberi bantuan tambahan yang kita pertahankan dalam keadaan nilai peruntukan sudah menurun dalam 20 hingga 30 peratus," katanya.

Hishammuddin berkata, kementerian juga sudah diarahkan untuk mengkaji cara yang sesuai bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Mengenai pelaksanaan Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, perkara itu belum diputuskan kerana tempoh percubaannya belum tamat.

"Yuran tambahan PIBG sering menjadi isu dan rungutan ibu bapa setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak mampu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi sesi persekolahan 2009, kementerian menyediakan peruntukan besar sebagai bantuan tambahan, seperti, RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta (Rancangan Makanan Tambahan), RM262 juta (Biasiswa Pelajar), RM246 juta (Skim Bantuan Tuisyen) dan RM200 juta (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin).

"Peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta (Program Susu Sekolah) dan RM20 juta (Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform)," katanya.

Mengenai pelaksanaan Program Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, perkara itu belum diputuskan kerana tempoh percubaannya belum tamat.

Berita Harian Online: 28 Nvember 2008

Tiada ulasan: