Khamis, 27 November 2008

Calon isi jawatan Guru Cemerlang masih kurang

KEMENTERIAN Pelajaran menghadapi masalah kekurangan calon yang memohon untuk mengisi jawatan Guru Cemerlang, kata Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Khalid Abu Bakar.

Berdasarkan kajian dijalankan bahagian itu pada Julai tahun lalu, beliau berkata, didapati sebilangan besar guru masih tidak memahami konsep dan manfaat ditawarkan dalam laluan kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

“Ini menunjukkan guru tidak mendapat maklumat berkaitan walaupun surat siaran Guru Cemerlang sudah dikeluarkan Jemaah Nazir Sekolah (JNS) (kini Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti).

“Ketidakfahaman guru terhadap konsep Guru Cemerlang menyebabkan guru lebih cenderung untuk memilih kaedah `time-based’ untuk ke gred lebih tinggi.

“Ramai guru tidak menyedari bahawa tempoh laluan kerjaya ke gred lebih tinggi yang ditawarkan di bawah konsep Guru Cemerlang adalah lebih pendek berbanding kaedah `time-based’,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Memartabatkan Profesion Keguruan: Kerjaya Guru Ke Arah Memartabatkan Profesion Keguruan’ pada Konvensyen Nasional Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2008 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini, semalam.

Selain itu, Khalid berkata, kajian berkenaan juga mendapati guru kurang selesa menjalani proses pemantauan oleh JNS, sebaliknya lebih selesa dipantau pengetua dan guru besar sekolah masing-masing.

Justeru selepas kajian itu, beliau berkata, kementerian membuat keputusan supaya pemantauan Guru Cemerlang Gred DG48 dan ke bawah dilaksanakan pengetua serta guru besar.

Berita Harian Online: 27 November 2008

Tiada ulasan: