Sabtu, 29 November 2008

Dua sekolah di Sabah gagal UPSR 100 peratus

BEAUFORT 27 Nov. - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun hari ini melahirkan rasa kecewanya dengan pencapaian buruk dua buah sekolah rendah di sini dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang gagal 100 peratus.

Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Klias berkata, pencapaian terburuk itu adalah amat memeranjatkan dan semua pihak diminta tidak menuding jari antara satu sama lain.

''Kita harap pihak sekolah akan membuat kajian terperinci punca utama yang menyebabkan sekolah-sekolah ini gagal seratus peratus,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan guru-guru besar sekolah rendah dari daerah ini di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kebulu yang hanya mempunyai lima murid dan SK Kepawa yang mempunyai lapan murid.

Beliau berkata, pencapaian UPSR 2008 yang buruk bukan sahaja di SK Kebulu dan SK Kepawa tetapi juga hampir di semua 41 buah sekolah yang terdapat di Beaufort.

Menurutnya, sekolah lain yang turut mengalami kemerosotan ialah SK Jabang yang hanya seorang yang lulus, SK Bentuka (2), SK Blah Batu 65 (3), SK Karangan (2), SK Nukahan (2) dan SK Kota Klias (4).

Azizah berkata, kelemahan tersebut tidak perlu diletakkan di bahu pihak sekolah tetapi semua pihak perlu bertanggungjawab dan berperanan dalam menyelesai masalah berkenaan.

''Perkara ini perlu direnungi oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemimpin di peringkat akar umbi dan wakil rakyat kerana pencapaian pelajar adalah tanggungjawab semua,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 28 November 2008

Tiada ulasan: