SABAN tahun diadakan pertandingan Guru Inovatif sempena meraikan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Walaupun tidak pernah menyertai kerana saya tidak memiliki kepakaran yang hebat dalam bidang ini, saya melihat dari jauh usaha dan kesungguhan yang begitu mengagumkan daripada guru yang terpilih menyertai pertandingan ini.
Bagi saya, kejayaan guru yang terpilih dalam pertandingan ini bukan sahaja memerlukan kreativiti dan inovatif yang tinggi. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesungguhan yang tiada surutnya untuk menghasilkan sesuatu inovasi yang kemudian dinilai sebagai terbaik pula. Pemilihan untuk memperoleh tempat terbaik di peringkat kebangsaan amat teliti, sengit dan memerlukan pembuktian yang bukan sedikit.
Pengalaman saya melihat calon Guru Inovatif beberapa tahun lepas di peringkat kebangsaan, setelah berjaya di peringkat negeri, amat menakutkan. Banyak masa dan tenaga dihabiskan semata-mata untuk menghasilkan bahan inovatif yang terbaik. Pemilihan yang begitu eksklusif bermula di peringkat daerah, kemudian ke peringkat negeri dan akhirnya di peringkat kebangsaan.
Pada peringkat ini, pembentangan hampir beberapa kali dipantau oleh penilai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), amat membebankan. Bukan sahaja guru itu yang terbeban, guru-guru lain yang berada di sekolah itu turut terkena tempiasnya kerana apabila ada pemantauan, semua guru mesti kelihatan sempurna di kaca mata pemantau. Kerisauan turut singgah dalam kalangan warga sekolah itu.
Untuk guru yang dicalonkan amatlah lebih hebat tanggungannya. Dengan pembentangan yang bersilih ganti beberapa kali di peringkat kebangsaan, barulah seseorang guru itu terpilih untuk dinobatkan sebagai Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan.
Sayangnya, hasil kerja guru yang kreatif, inovatif ini bagaikan tidak dihargai. Anugerah Guru Inovatif amatlah tinggi nilainya. Tetapi bagaimana dengan ganjarannya?
Saya tidak pasti untuk tahun ini. Tetapi hadiah untuk tahun-tahun lepas bagaikan tidak berbaloi dengan status anugerah yang diberikan. Tiada wang tunai disediakan. Hanya sijil dan plak sebagai 'pengiktirafan terbaik'.
Keadaan ini menyebabkan saya terpanggil untuk melahirkan rasa simpati atas sikap terlepas pandang ini. Bayangkan, juara nyanyian boleh memperoleh RM1 juta (rancangan pertandingan realiti); pertandingan Adik-Adikku (pidato) pun diberi hadiah RM10,000 dan umrah (pelajar bukan guru); pertandingan lawak pun juaranya menerima RM100,000 dan hadiah dalam kewartawanan pun mencecah RM10,000.
Tetapi, apakah nasib Guru Inovatif (yang hanya beberapa orang terpilih), yang hanya setahun sekali diiktiraf sebagai guru hebat? Mereka menyumbang kepada pembangunan anak didik pelajar yang akan mencerna pembangunan negara, tetapi apa ganjaran yang mereka dapat? Hadiah wang tunai pun tiada!
Terpukul rasanya insan yang bernama guru. Guru sering dianggap mulia kerana sentiasa berkorban untuk orang lain. Dalam waktu yang sama, guru juga seharusnya diberikan penghormatan, pengiktirafan dan penghargaan seperti bidang lain.
Janganlah apabila insan guru bersuara dikatakan mementingkan kebendaan dan tiada keikhlasan. Berpijaklah di alam realiti. Setanding dengan kualiti penghasilan kerja yang ditampilkan, ganjarannya pada hemat saya seharusnya lebih berpadanan.
HORMATI TERBAIK
Pekan, Pahang
Utusan Malaysia Online: 6 April 2011
1 ulasan:
Salam 1 malaysia.
saya stuju bahawa Ganjaran adalh penting. Kalau stakat dpt Plaque dan sijil - tarafnya semacam budak sekolah.
Pengiktirafan di peringkat Nasional perlu disertai dgn RM juga. Di samping imbuhan lain spt. peluang memajukan kerjaya, pelancongan, insentif penyelidikan, etc.
salam.
- bapa prihatin, jelawat, bachok.
Catat Ulasan