Selasa, 5 April 2011

Minda Pengarang: Semua pihak wajar ambil iktibar kes murid dibelasah guru hingga mati

2011/04/05

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian seorang murid sekolah agama persendirian di Perlis, berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas empat hari koma dibelasah gurunya. Murid berkenaan, Saiful Syazani Saiful Sofidee, seorang anak yatim mengalami pendarahan dalaman kerana dipercayai dibelasah teruk, selepas dituduh mencuri RM7 milik rakan sekelasnya. Atas apa juga kesalahan murid sementah itu, tindakan guru berkenaan sama sekali tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh sesiapa juga. Lebih menyayatkan hati apabila laporan akhbar menyatakan kanak-kanak itu sudah kematian ibu. Kejadian pula berlaku di sebuah sekolah agama yang bukan terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Dalam kejadian di Jejawi, Perlis empat hari lalu kedua-dua tangan kanak-kanak terbabit diikat pada tingkap asrama dan dibelasah. Apabila dia berjaya melepaskan diri, guru terbabit dilaporkan ‘naik berang’ dan terus memukul kepala budak berkenaan dan menggoncang badan serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai menjadi punca utama mangsa mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung. Apabila berlaku kejadian seumpama itu, timbul tanda tanya di benak hati kita di manakah sifat perikemanusiaan seorang guru, apatah lagi seorang bergelar guru dan warden di sekolah agama. Jika perkara sekecil itu pun boleh menyebabkan murid didera dengan sedemikian rupa? Kejadian ini patut diberi perhatian serius pihak berkuasa, khususnya kerajaan negeri dan tidak harus dianggap terpencil semata-mata kerana ia berlaku di sebuah sekolah persendirian.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengemaskinikan senarai semua sekolah bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran terutama sekolah agama persendirian. Latar belakang sekolah harus diteliti termasuk kelayakan tenaga pengajar, warden asrama serta aspek kebajikan pelajarnya. Sebarang usaha memperbaiki keadaan tidak harus hanya nampak serius apabila berlaku sesuatu kes penderaan, tetapi selepas itu kembali menyepi. Pihak Kementerian Pelajaran juga harus menyiasat dan menyimpan maklumat semua sekolah persendirian bagi tujuan pemantauan dan tidak menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak lain termasuk kerajaan negeri. Mereka tidak mempunyai pengalaman menjaga hal ehwal sekolah, sehingga menyebabkan pelantikan guru dan warden dibuat tanpa mengikut peraturan dan kelayakan tertentu. Justeru, adalah wajar peranan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran diperluaskan menerusi peruntukan undang-undang agar pembukaan sekolah, termasuk pertubuhan politik, perlu mendapat kelulusan kementerian supaya perkembangannya dapat dipantau dari semasa ke semasa.

Namun, kita mengakui hakikatnya bahawa kejadian di Perlis itu juga berpunca daripada sikap guru atau warden yang gagal mengawal perasaan marahnya. Apapun, kita harap kes berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin supaya guru yang bertanggungjawab mendapat hukuman setimpal. Ia juga dapat menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak termasuk guru dan ibu bapa agar tidak menggunakan ‘kuasa’ mereka selaku orang dewasa dengan mudah melakukan kekerasan ke atas kanak-kanak mengikut nafsu kemarahan dalam menangani sesuatu perkara. Anak kecil adalah fitrah dan tanggungjawab memberikan kasih sayang dan dilindungi bukannya dianiaya atau didera. Adalah menjadi harapan kita agar kejadian yang menimpa kanak-kanak tidak berdosa ini tidak berulang.

Berita Harian Online: 5 April 2011

Tiada ulasan: