Rabu, 6 April 2011

Pensyarah kecewa sistem pertukaran tidak adil

2011/04/06

SAYA ingin menyuarakan berkenaan sistem pertukaran pensyarah kolej matrikulasi yang berada di bawah pengurusan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

Sistem pertukaran pensyarah antara kolej matrikulasi mengundang rasa tidak senang kepada banyak pihak, terutama pensyarah yang sudah memohon berulang kali. Ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun di sesebuah kolej malah ada yang lebih lama daripada itu dan sudah memohon bertukar sebanyak tiga hingga empat kali tetapi masih gagal.

Bukan kerana tiada kekosongan di kolej matrikulasi yang dipohon, tetapi disebabkan Bahagian Matrikulasi kementerian hendak menempatkan guru sekolah dan pegawai kementerian lain yang mendapat kenaikan pangkat atau gred untuk mengajar di kolej terbabit.
Manakala pensyarah yang berada di dalam sistem matrikulasi kementerian, setia berkhidmat serta membangunkan matrikulasi diketepikan.

Jika perkara ini adalah arahan pihak atasan di Kementerian Pelajaran, saya berharap mereka sedar dan dapat mengambil tahu bahawa sejumlah besar pensyarah matrikulasi sedia ada yang sudah memohon pertukaran sangat berharap permohonan kami diluluskan.

Bukan tidak mementingkan berkenaan kenaikan pangkat atau gred pegawai lain, tetapi fikirkanlah juga nasib kami yang sudah menunggu lama untuk bertukar. Dalam tempoh itu kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, serta anak.

Ramai antara kami terpaksa berulang hampir setiap hujung minggu untuk berjumpa keluarga masing-masing dan hal ini sememangnya mengganggu kualiti tugas dan tanggungjawab kami, sedangkan perkara ini boleh diatasi jika pihak berkenaan dapat menguruskan isu pertukaran pensyarah dengan baik.

PENSYARAH MATRIKULASI,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 6 April 2011

Tiada ulasan: