Selasa, 5 April 2011

YGMB bantu guru atasi beban hutang

Oleh Zailani Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/04/05

RM30,000 disedia selesai beban kewangan

SHAH ALAM: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menawarkan skim pinjaman mudah kepada kira-kira 500,000 tenaga pengajar dan kakitangan sokongan seluruh negara bagi melupus pelbagai hutang bank termasuk mereka yang disenarai hitam.

Yayasan itu, yang dilancarkan dua bulan lalu, juga sedia menawarkan kemudahan itu kepada pendidik yang terbabit dengan pinjaman syarikat tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan mereka daripada ancaman penagih hutang atau ‘along’.
Pada masa ini, YGMB, dengan keahlian seramai 129,124 termasuk 77,000 ahli seumur hidup, mempunyai aset dan simpanan bernilai RM45 juta, dan kempen menambah keahlian giat dijalankan melalui pengedaran risalah di sekolah, jabatan pelajaran, laman sesawang, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga siaran media.

Berikutan itu YGBM sedang memperkasa kempen menambah bilangan keahlian di seluruh negara bagi memudahkannya menyalurkan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk dinikmati 400,000 tenaga pengajar dan 100,000 tenaga sokongan, di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya akan segera bertemu dengan 27 pertubuhan pendidik termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) bagi mendaftarkan mereka dalam YGMB sekali gus membincangkan isu kebajikan tenaga pengajar.

Katanya, kajian mendapati ramai pendidik terutama di kawasan bandar dibebani hutang dan segelintir mereka terpaksa berurusan dengan ‘along’ bagi menyelesaikan masalah kewangan masing-masing.
Alimuddin berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai tenaga pengajar meminta ditukarkan ke negeri lain semata-mata mahu melarikan diri daripada cengkaman peminjam wang tidak berdaftar yang menuntut hutang, sehingga mengancam keselamatan keluarga mereka.

Beliau berkata, YGMB menyediakan skim pinjaman mudah berjumlah RM30,000 bagi membolehkan pendidik menyelesaikan semua atau sebahagian hutang peribadi dan kad kredit .

“Bagi menikmati kemudahan ini, mereka (tenaga pengajar dan kakitangan sokongan terbabit) perlu mendaftar dengan YGMB dan membayar yuran bulanan RM10 atau tahunan RM120 menerusi skim potongan gaji,” katanya pada sidang media selepas taklimat dengan kira-kira 100 pengetua sekolah dan pentadbir Jabatan Pelajaran Selangor, di sini, semalam.

Alimuddin berkata, selain kemudahan pinjaman peribadi bagi melupus hutang, YGMB juga menyediakan beberapa kemudahan lain antaranya pinjaman membeli hartanah, menunaikan umrah dan melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, semua ahli yayasan itu juga menikmati beberapa kemudahan asas seperti khairat kematian, derma siswa pelajaran, bantuan kemalangan dan bencana alam.

“Yayasan mensasarkan seramai 100,000 ahli baru menjelang akhir tahun ini bagi memperkasa pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan Koperasi YGMB termasuk di sektor pertanian dan perumahan,” katanya.

Berita Harian Online: 5 April 2011

Tiada ulasan: