Rabu, 13 April 2011

KPM sentiasa tingkat program prauniversiti

2011/04/13

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca bertarikh 19 Mac 2011 bertajuk 'Tingkatan enam perlu dirombak, Pelajar Prauniversiti 2010/2011, Ampang', 23 Mac 2011 'Perkasa semula tingkatan enam ,Hasron Nazri Hashim, Kuala Lumpur' dan 25 Mac 2011 'Kementerian patut hebah kelebihan masuk tingkatan enam, Insan Prihatin, Ampang, Selangor'.

Untuk makluman , KPM melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sentiasa berusaha untuk memperkasakan program pendidikan tingkatan enam dengan merangka rancangan penjenamaan semula program pendidikan prauniversiti ini. Satu daripadanya ialah merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

Sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkatan enam bawah pada 2012, bukan pada 2011 seperti yang dinyatakan oleh Pelajar Prauniversiti 2010/2011. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian. Dengan pelaksanaan sistem baru ini diharapkan pengajian tingkatan enam akan menjadi lebih menarik, dan dengan yang demikian, lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian peringkat prauniversiti ini.
Dari segi promosi, KPM sudah menghebahkan maklumat ini melalui laman web, media massa dan program turun padang untuk menyebarluaskan maklumat pelaksanaan sistem modular ini kepada warga pendidik pada semua peringkat.

KPM akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan kelebihan tingkatan enam serta terus memperkasakan pendidikan tingkatan enam.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
KPM

Berita Harian Online: 13 April 2011

1 ulasan:

guru berkata...

kalau penekanan dibuat pada tahun 2012 bila bagi seminar kepada guru-guru Pra U????Sekarang sudah tahun 2011.....Jangan lambat