Rabu, 27 April 2011

Catat firasat buruk di Facebook

Oleh Yahya Awang
bhnews@bharian.com.my
2011/04/27


Guru hilang ketika daki bukit ditemui mati tertiarap dalam lopak berair

TAIPING: Hancur luluh hati isteri guru Sekolah Menengah King Edward VII, Abdullah Zubair Ismail, 27, sebaik melihat jip polis membawa mayat suaminya yang dibaluti plastik hitam tiba di kaki Bukit Larut, di sini, semalam.

Sebaik mengetahui kematian suaminya itu, Norziah Zulkifli, 26, yang mengandung empat bulan meraung sambil memeluk kedua-dua mentuanya, Ismail Yusuh, 57, dan Zaitun Ismail, 50.
Norziah yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan kini menjalani latihan praktikal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, tidak dimaklumkan lebih awal kematian suaminya kerana keluarga bimbang dirinya tertekan, lebih-lebih lagi sedang mengandung anak sulung.

Abdullah Zubair dilaporkan hilang selepas mendaki bukit itu kelmarin, ditemui mati oleh pasukan mencari dan menyelamat di kawasan cerun bersebelahan Air Terjun Bukit Larut, lima kilometer dari kaki bukit itu pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata mayat mangsa berpakaian baju sukan dan berseluar trek manakala kasut kaki kanannya tertanggal, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan lopak berair.

“Ketika ditemui, ada kesan darah di kepala dan luka di kening kanan mangsa. Kesan tergelincir sepanjang tiga meter turut ditemui di lokasi berkenaan, dipercayai akibat terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Norziah yang ditemui berkata, dia melarang suaminya mendaki bukit berkenaan ketika arwah menghubunginya malam Sabtu lalu dan arwah sekali lagi menghubunginya jam 8.30 pagi keesokannya tetapi sekadar memaklumkan mahu keluar minum.

“Ketika menghubungi saya, arwah gembira kerana mendapat geran kereta yang baru dibelinya,” katanya sambil memaklumkan jenazah suaminya akan dikebumikan di Jitra, Kedah.

Seorang guru sekolah sama, Mohd Noor Hisham Baharom berkata, arwah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah Tingkatan Enam Atas adalah seorang guru berdedikasi.

“Arwah mempunyai facebook menggunakan nama Ali Bana. Sebelum keluar rumah pada pagi Ahad, beliau sempat menulis di dalam facebooknya beliau mempunyai firasat akan berlaku perkara buruk pada hari itu,” katanya.

Guru warden sekolah berkenaan yang juga rakan baik mangsa, Ahmad Din Ahmad Zuki berkata, Abdullah Zubair gemar mendaki bukit dan melakukan kegiatan lasak sudah tiga atau empat kali mendaki bukit itu dan lazimnya tidak melalui jalan tar, sebaliknya trek hutan sesuai dengan minatnya.

Berita Harian Online: 27 April 2011

Tiada ulasan: