SAYA merupakan pelajar cemerlang, mendapat anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daerah Tampin tahun 2001, at-Tabari Award (pelajar terbaik Quran & Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Konvokesyen 2004 dengan mendapat Ijazah Kelas Pertama dan lulus Diploma Pendidikan UPSI dengan Himpunan Purata Markah 3.9. Namun sehingga sekarang saya belum dapat kerja.
Saya terfikir, kenapa agaknya saya belum mendapat kerja? Adakah kerana tiada rezeki? Atau adakah kerana tidak berusaha untuk mencari kerja? TIDAK, saya sangat berusaha untuk mencari rezeki.
Datang daripada keluarga guru (emak, ayah, suami, kakak, pak cik dan mak cik, kebanyakan adalah guru), saya bercita-cita dari kecil untuk menjadi guru. Selepas konvokesyen UIA, saya pernah mengajar di sebuah sekolah swasta di Gombak. Kerana inginkan kerja yang lebih terjamin, saya memohon untuk menjadi guru.
Setelah berusaha dalam ujian bertulis dan temuduga, saya berjaya dan ditawar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPTM) sebagai sijil ikhtisas sebelum diserapkan untuk menjadi pensyarah sama ada di Politeknik atau Kolej Komuniti.
Setelah menamatkan Diploma Pendidikan, saya berdebar-debar menunggu untuk penempatan. Di manakah agaknya saya akan ditempatkan? Bagaimanakah agaknya rupa dan tingkah laku bakal pelajar saya nanti? Adakah saya dapat lakukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar saya nanti? Saya terasa begitu teruja untuk mengajar dan tidak sabar menunggu untuk ditempatkan.
Namun sehingga sekarang semua persoalan itu tidak terjawab. Saya ingin bertanya kepada KPTM, bilakah saya dan rakan-rakan saya akan ditempatkan? Kenapakah urusan penempatan kami dilambat-lambatkan?
Telah dua kali kami diberi harapan penempatan. Pertama kali pada bulan November 2008. Kebanyakan kami dihubungi melalui telefon oleh KPTM untuk mengemas kini biodata untuk urusan penempatan. Apabila ditanya bilakah saya dan rakan-rakan akan ditempatkan, mereka menjawab dengan yakin, bulan Disember 2008.
Kali kedua, ramai yang menelefon KPTM setelah bulan Disember 2008 berlalu tanpa berita. Kami diberi janji untuk ditempatkan pada bulan Januari 2009 kerana penempatan untuk bulan Disember telah diisi oleh orang lain. Namun sehingga kini kami terus dikejutkan apabila tempat yang dijanjikan kepada kami juga diisi oleh orang lain. Seramai 420 orang yang melalui temuduga terbuka Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) telah lulus temuduga pada Disember 2008 dan telah melapor diri pada 15 Januari lepas.
Saya terfikir, kenapa KPTM melambat-lambatkan penempatan kami sedangkan dengan mudah menempatkan orang yang langsung tidak ditaja. Bayangkan, daripada pelajar yang ditaja KPTM, terdapat lebih kurang 500 pelajar tajaan yang akan dijadikan pensyarah tapi belum ditempatkan. Sebaliknya KPTM mencari 420 orang yang lain untuk mengisi tempat yang sepatutnya diberikan kepada kami. Dibandingkan dengan 500 pelajar yang telah ditaja selama 10 bulan pengajian sijil ikhtisas dengan 420 pelajar yang langsung tiada ikhtisas, mana yang lebih patut diberi keutamaan?
Saya minta Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin, mengambil perhatian atas perkara ini kerana ia sangat menyusahkan kami. Kami menjadi mangsa keadaan, lebih-lebih lagi di kala keadaan ekonomi yang terjejas kini.
Kami masih tiada sumber kewangan dan ramai rakan-rakan terpaksa berhutang untuk membayar hutang bank dan sebagainya, ibarat menggali lubang untuk menutup lubang yang lain.
PELAJAR CEMERLANG
Mambau, Negeri Sembilan.
Utusan Malaysia Online: 25 Februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan