KEMATIAN seorang pelajar akibat dibelasah sekumpulan rakan sekolahnya, gara-gara berebut teman wanita baru-baru ini amat mendukacitakan. Ia juga menarik perhatian pelbagai pihak. Namun, kenyataan Menteri Pelajaran adalah tepat apabila menyatakan ia bukannya kejadian terpencil.
Kejadian seperti ini sudah berlaku beberapa kali. Malah satu masa dulu kita dikejutkan dengan berita pelajar Ma'ahad dibelasah rakannya.
Nampaknya tiada had bagi perkara seperti itu berlaku. Kami, bekas pelajar yang tamat persekolahan lima tahun lalu, meminta pihak sekolah lebih bertanggungjawab dalam kes seumpama ini.
Berdasarkan pengalaman, pihak sekolah biasanya cuba menutup kejadian jenayah yang berlaku di sekolah. Pelbagai kejadian seperti mencuri, buli dan belasah, pecah masuk asrama wanita dan sebagainya tidak direkodkan.
Malah, ada kala jika kes membabitkan pelajar yang mempunyai ibu bapa yang berkhidmat di sekolah itu, tiada tindakan diambil. Sesetengah pelajar mengambil peluang itu dan cuba berubah menjadi pelajar yang baik.
Namun, ada juga yang mengambil kesempatan atas tindakan berkenaan dengan menganggap sekolahnya lemah dan seterusnya mengulangi perbuatan sama.
Namun, pada kebiasaannya pihak sekolah mengelak untuk melaporkan perkara sedemikian, demi menjaga nama baik sekolah.
Apa yang akan difikirkan jika kementerian mengetahui kejadian seperti ini? Sumbangan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga pastilah berkurangan dan lebih menakutkan lagi, aktiviti dan pentadbiran sekolah menjadi bahan bualan dan mereka akan disiasat sama ada oleh pihak ibu bapa mahupun pihak kementerian.
Jika pun ada tindakan diambil pihak sekolah, ia juga mempunyai niat yang sama. Sebagai bekas pelajar yang pernah melakukan kesalahan, kami bersyukur andainya pihak sekolah memberi peluang kedua untuk berubah.
Bagaimanapun, bagi pelajar yang tidak menunjukkan sikap bersyukur dan tiada keinginan untuk berubah, iaitu terus menerus melakukan kesalahan sama, pihak sekolah sekiranya benar-benar mementingkan kebaikan pelajar, akan menyerahkan kesnya kepada pihak yang berkuasa, seperti kementerian atau pihak polis.
Adalah lebih mendukacitakan lagi pihak sekolah sebaliknya bersikap lepas tangan apabila bertindak untuk memindahkan pelajar berkenaan ke sekolah lain atas pilihan pelajar dan tidak memaklumkan sebabnya kepada sekolah baru.
Akibatnya, pelajar berkenaan terus melakukan jenayah dan kesalahan, malah mungkin dengan lebih berleluasa lagi. Sekolah haruslah menjadi tempat memupuk pelajar dan membentuk sahsiah mereka, bukan sekadar tempat kerja bagi guru dan pentadbir sekolah.
Hukuman bagi pelajar seharusnya dilakukan sesuai dengan keadaan, bukan semata-mata mengikut perasaan geram atau marah.
Ia juga harus dilaksanakan dengan niat untuk mengubah pelajar menjadi insan lebih baik lagi.
Tindakan melaporkan kepada pihak lebih berkuasa tidak harus dilihat sebagai kejam andainya ia benar-benar sesuai. Setakat mewajibkan pelajar menghadiri sesi kaunseling tidak mencukupi.
Malah, tindakan ini, walaupun pasti mendapat tentangan ibu bapa, juga dapat menarik perhatian ibu bapa pelajar bermasalah ini kepada masalah yang dihadapi anak mereka.
Andainya pihak sekolah bersikap bertanggungjawab, ikhlas dan penuh integriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, rakyat Malaysia, khususnya anak muda remaja yang terbentuk pastinya akan menjadi bangsa yang lebih baik.
BEKAS PELAJAR,
Bintulu, Sarawak.
Berita Harian Online: 26 Februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan