Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pendidik yang terjebak dengan skim itu akan kehilangan pendapatan bulanan dan simpanan tetap kerana dilabur dalam skim tidak berfaedah.
Katanya, kementerian juga khuatir mereka mungkin ditahan pihak berkuasa seperti Bank Negara dan polis kerana melabur dalam skim yang melanggar undang-undang.
Setakat ini, tegasnya, belum ada pegawai pelajaran dan guru dilaporkan menyertai skim berkenaan.
"Skim cepat kaya terbukti merugikan dan harus dijauhi pendidik," katanya kepada media selepas merasmikan program Memperkasakan Sekolah Kebangsaan peringkat Semporna, Lahad Datu, Tawau, Kinababatangan dan Kunak di sini, semalam.
Kira-kira 200 pegawai Jabatan Pelajaran dan guru besar dari lima daerah terbabit menghadiri program berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Jame Alip.
Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan ahlinya supaya menjauhi taktik halus skim cepat kaya.
Presidennya, Omar Osman, dilaporkan berkata, kes itu adalah serius dan peringatan mengenainya menjadi agenda pada mesyuarat kesatuan itu yang berlangsung di Kota Kinabalu pada November lalu.
Dalam perkembangan lain, Alimuddin berkata, ada ibu bapa dikesan melanggar dasar pendidikan wajib kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilaksanakan mulai tahun lalu.
"Berdasarkan siasatan kementerian dan laporan ketua kampung, penghulu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kita dapati ada ibu bapa mengabaikan pendidikan anak mereka dengan memberi alasan anak cacat dan kemiskinan keluarga.
Berita Harian Online: 3 Februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan