Khamis, 26 Februari 2009

Sekolah Terbilang: Hasil permuafakatan

Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my


KELAS STF dijalankan setiap hujung minggu bagi membantu murid lemah.

SK LKTP Jengka 16 muncul Sekolah Rendah Terbaik Felda Pahang 2008

KERJASAMA guru, murid serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru merencanakan pelbagai kegiatan menjadi penyumbang kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Jengka 16, Bandar Jengka, Maran, Pahang, sekali gus dinobatkan Sekolah Rendah Terbaik Felda Pahang 2008.

Guru Besarnya, Ahmad Thimizir M Hashim, berkata dengan visi menjadi sekolah cemerlang pada 2010, SK LKTP Jengka 16 bergerak pada landasan betul dan yakin terus maju.

Walaupun muridnya terdiri daripada anak peneroka, keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diperoleh sejak tiga tahun lalu amat membanggakan.

Dengan 40 peratus calon mendapat 5A, sekolah itu muncul sekolah rendah terbaik Wilayah Jengka dan Felda Negeri Pahang tahun lalu.

Ahmad Tirmizir berkata, pencapaian memperoleh gred purata sekolah (GPS) 1.9 tiga tahun berturut-turut menyuntik semangat pelajar, guru serta ibu bapa untuk terus berusaha melonjakkan imej institusi itu pada masa depan.

“Ini membuktikan kejayaan itu mampu dicapai jika kita bersungguh-sungguh seperti pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Tahun lalu seramai 10 daripada 25 calon mendapat 5A dengan mencatat 88 peratus atau GPS 1.58, sekali gus menduduki tempat ke sebelas di Pahang.

“Pada 2007,13 daripada 36 calon mendapat 5A dengan GPS 1.69, manakala lima daripada 37 calon mendapat 5A dengan GPS 1.87 (2006),” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Menyingkap rahsia kejayaannya, Ahmad Tirmizir berkata, beliau menggunakan formula ISA = KECEMERLANGAN.

PUSAT Akses Sekolah menjadi tumpuan murid mencari maklumat yang diperlukan untuk pembelajaran.

Katanya, guru sekolah itu yang kebanyakan anak peneroka memainkan peranan dalam mencorakkan kejayaan kerana mereka mempunyai komitmen tinggi dan sentiasa mendekati murid.

“Saya sentiasa mengingatkan mereka supaya bekerja dengan Ikhlas, Sungguh-sungguh dan Amanah (ISA) ketika menjalankan tugas yang akhirnya menghasilkan KECEMERLANGAN.

“Murid juga sentiasa disuntik dengan semangat untuk belajar dan bertanggungjawab dalam memastikan mereka terus berusaha memajukan diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, setiap pagi, sebelum memulakan pengajaran guru akan memberi motivasi ringkas mengenai pentingnya pelajaran, manakala ibu bapa pula bekerjasama membantu menjayakan program sekolah.

“Malah kami memanfaatkan Skim Tuisyen Felda (STF) sepenuhnya untuk meningkatkan pencapaian murid lemah dan berpotensi menerusi kelas yang diadakan pada setiap Sabtu,” katanya.

Selain itu, katanya murid digalakkan menggunakan komputer di Pusat Akses Sekolah untuk mengakses internet, mencari maklumat berkaitan pelajaran serta melakukan latihan tambahan.

Kejayaan SK LKTP Jengka 16, bukan saja membabitkan akademik tetapi kokurikulum apabila tahun lalu sekolah itu muncul johan ‘choral speaking’ daerah Maran dan tempat keempat peringkat Pahang.

“Pasukan bola tampar perempuan pula menjadi johan daerah Maran, sekali gus mewakili daerah berkenaan ke peringkat negeri.

“Pihak pentadbir memberi keutamaan kepada keceriaan bagi mewujudkan suasana kondusif, selain menulis kata-kata perangsang di dinding sekolah yang turut mencetus semangat warga SK LKTP Jengka 16 terus gemilang pada masa depan,” katanya.

Berita Harian Online: 25 Februari 2009

Tiada ulasan: