Rabu, 11 Februari 2009

Sekolah Terbilang: Sasar terbilang 2010

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
upen@bharian.com.my


PELAJAR tingkatan lima diwajibkan mengikuti seminar teknik menjawab soalan peperiksaan bagi meningkatkan pencapaian mereka.

Semashur terbaik dalam keputusan PMR 2008 di kalangan SBP, juara pelbagai acara kokurikulum

TERGOLONG dalam kelompok sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur), Batang Kali, memikul tanggungjawab besar dalam melonjakkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Tanggungjawab itu disedari pihak pengurusan mahupun pelajar, sekali gus meningkatkan semangat dan komitmen mereka untuk berusaha menonjolkan keupayaan dalam pelbagai bidang.

Semashur buat julung kalinya melakar sejarah dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 apabila 134 daripada keseluruhan 153 calon mendapat semua A dalam peperiksaan itu.

Lebih membanggakan, pencapaian itu meletakkan Semashur di tempat teratas dalam kelompok SBP seluruh negara.

Pengetuanya, Nor Paizin Ibrahim, berkata sekolah itu berjaya mendapat pencapaian gred purata keseluruhan 1.02 peratus.

PELAJAR memberi tumpuan ketika menjalani latihan amali di makmal sains.

“Perkembangan ini membuktikan keupayaan Semashur mencapai visi sebenar menjadi pusat pendidikan terbilang menjelang 2010 menjadi realiti, lebih awal daripada yang dirancang.

“Sejak dibuka pada 2000, warga sekolah ini optimis mencapai kecemerlangan dalam semua aspek termasuklah bidang akademik ini.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk penganjuran 17 program akademik untuk meningkat kecemerlangan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, antaranya seminar belajar, teknik menjawab soalan peperiksaan yang dianjurkan dengan kerjasama sisipan SKOR terbitan Berita Harian, program mentor mentee, kem belajar, program 'guru muda' dan homestay di SBP pilihan.

PASUKAN ragbi Semashur gigih menjalani latihan bagi menghadapi kejohanan yang disertai.

Bangga dengan pencapaian PMR tahun lalu, beliau berkata, pihaknya turut mensasarkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 setelah menjalankan pelbagai program pemantapan sepanjang tahun lalu.

“Selain akademik, pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum juga menyerlah bukan saja di peringkat kebangsaan, malah global.

“Sekolah ini sinonim sukan ragbi sejak 2002 dengan kejayaan muncul johan pertandingan ragbi peringkat daerah, negeri, malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan.

“Tahun lalu, kita menjadi juara Kejohanan Ragbi Piala SBP, Piala Terbuka kategori Plate Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Piala Sekolah Primier kategori Cup , Kejohanan Ragbi Terbuka Universiti Kebangsaan Malaysia kategori Plate , Kejohanan Cross Straits Bawah 15 tahun kategori Plate dan Kejohanan Cross Straits Bawah 14 tahun kategori Cup (naib johan),” katanya.

Beliau berkata, pasukan ragbi sekolah juga didedahkan di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran perlawanan persahabatan dengan empat sekolah di Singapura pada 13 hingga 15 Februari tahun lalu, sebagai persediaan menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.

Selain itu, Paizin berkata, Semashur juga menyerlah dalam pertandingan catur apabila menjuarai kategori individu Kejohanan Terbuka Sekolah Alam Shah dan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (naib johan) dan Kejohanan Catur kategori negara Asean (individu, tempat ke - 11).

Dalam sukan bola keranjang, pasukan sekolah itu berjaya dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Tampar (Maba) Petronas-SBP 2008.

“Pembabitan pelajar dalam kegiatan kokurikulum sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sejajar dengan matlamat memakmur dan mengantarabangsakan sekolah.

“Saya turun padang memantau pelajar agar mereka tidak lari dari matlamat asal mereka ditempatkan di sekolah ini. Ketegasan penting dalam merencanakan sesuatu kejayaan berharga kepada sekolah,” katanya.

Katanya, antara rahsia kejayaan sekolah adalah melaksanakan sistem 'kelas tahanan' kepada pelajar yang gagal menyiapkan tugasan seharian. Pelajar berkenaan tidak dibenarkan melakukan kegiatan lain sehinggalah kerja mereka selesai.

FAKTA: Sekolah Semashur

  • Dibuka pada 16 Jun 2000

  • Mempunyai 68 guru, 22 staf sokongan dan 774 pelajar

  • Pencapaian terbaik dalam PMR 2008 dengan 88.58 peratus calon memperoleh semua A

  • Menyerlah dalam sukan ragbi dan catur.

  • Berita Harian Online: 11 Februari 2009

    Tiada ulasan: