Rabu, 25 Februari 2009

Pelajar dihukum buang, gantung sekolah direkrut geng samseng

ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan isu baru, malah sekarang makin menjadi-jadi. Kes pergaduhan, mencederakan rakan dan sebagainya seolah-olah sudah sinonim dengan alam persekolahan.

Terbaru, apabila Muhd Hadzrin Mohamad, 16, meninggal dunia selepas koma seminggu akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja, isu ini panas semula.

Dalam soal ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid membuat siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab ke atas kematian Muhd Hadzrin.Berdasarkan maklumat awal, kejadian itu turut membabitkan pelajar sekolah yang sedikit-sebanyak mencalarkan imej pelajar di negara ini dan sekolah sebagai tempat mencari ilmu.


Agak malang bagi pelajar yang terbabit dengan kes seumpama itu kerana sejak awal lagi mereka terbabit dengan gejala tidak sihat apatah lagi menyebabkan kematian. Masa depan mereka akan gelap dan banyak membazir masa kerana waktu yang diambil untuk membuat siasatan terhadap mereka bukan sekejap. Malah, apa yang penting, pemahaman remaja terhadap undang-undang dan peraturan sangat penting untuk mengekang mereka daripada terbabit dengan jenayah.

Saya bersetuju dengan pendapat Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng bahawa sudah sampai masanya peraturan atau pendidikan mengenai undang-undang diperkenalkan di sekolah terutama sekolah menengah supaya masalah disiplin tidak menjadi lebih serius.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran juga mesti memperkemas segala bentuk peraturan di sekolah dengan memberi kefahaman mengenai matlamat, kesan dan usaha mengemaskini peraturan yang sedia ada perlu dilakukan secepat mungkin untuk menyesuaikannya dengan keadaan semasa.

Kelonggaran disiplin di sekolah penggalak kepada tindakan drastik pelajar dan lebih mendukacitakan apabila berada di luar sekolah, mereka membawa budaya yang diamalkan di sekolah kemudian melebarkan pengaruh di luar sekolah.

Maka, tidak hairanlah pada September 2006, kajian menunjukkan ada pelajar sekolah direkrut oleh kumpulan samseng di luar dan selepas tamat persekolahan, mereka inilah yang menjadi ‘raja’ di luar.

Perkara ini berlaku berpunca daripada pelbagai masalah dihadapi pelajar yang dapat dihidu oleh gengster di luar dan menjadikan pelajar bermasalah untuk mengukuhkan kumpulan di luar.

Oleh itu, selain tindakan ke atas pesalah disiplin di sekolah, usaha mengelak pelajar daripada terjebak dengan masalah disiplin di sekolah mesti diambil kira. Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatnya dan sudah tentu ada kaedah tertentu supaya disiplin di sekolah tidak diperlekeh dan dilanggar dengan mudah oleh pelajar.

Kementerian mesti memikirkan satu kaedah lain yang dapat memberi nafas baru kepada suasana pembelajaran yang lebih menjurus kepada soal keselamatan dan undang-undang supaya masalah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Apa pun, ketegasan melaksanakan peraturan sekolah mesti dipertahankan supaya dapat mewujudkan suasana sekolah yang bersih daripada gejala tidak sihat, selamat dan sesuai sebagai tempat belajar.

tetapi bukan untuk menunjuk siapa kuat, siapa lemah dan siapa keras kepala.

Menggantung dan buang sekolah dianggap tidak relevan kerana ramai berpendapat pelajar yang dibuang sekolah inilah yang bakal menjadi sampah masyarakat. Mereka yang terumbang-ambing di luar inilah yang bakal menambah jumlah pesalah sosial seperti melepak, ragut dan mencuri.

M JASNI MAJED,
Bukit Kapar, Selangor.

Berita harian Online: 24 Februari 2009

2 ulasan:

hongenter (Loo Fu Hong) berkata...

Tuan-tuan, Puan-Puan,

adalah semestinya bahawa golongan yang digantung / atau dibuang sekolah ini akan terlibat dalam kegiatan tak bermoral ini. misalnya, ada seorang kawan saya yang kini dibuang sekolah menjadi penjual CD cetak rompak jalanan dan tidak lagi bersekolah kerana beranggapan mereka sudah bebas tanpa kongkongan. mereka bagaikan terlepas dari pintu penjara dan mereka tidak tahu nak buat apa, ikut kawan2 mereka untuk melepak dan ambil dadah dan sebagainya. saya rasa sudah tiba masanya modifikasi disiplin sekolah adalah perlu bagi diadaptasikan dengan corak hidup dan keadaan semasa yang melanda. mungkin kepada pelajar yang melanggar peraturan (kecil dan sederhana) supaya menjadi agen menceritakan kepada murid lain untuk jangan ikut jejak langkah mereka. macam ambassador. itu pandangan saya, terima kasih.

emel:hongenter@gmail.com

nazer berkata...

salam, jika kita masih mengamalkan dasar play safe iaitu takut menegur sikap murid maka tidak hairanlah..makin ramai gejala mengandung, buang bayi, gangsterisme di kalangan budak sekolah. teruskan tindakan lembut kita dengan menasihati murid2 sekarang, jgn rotan kerana mgkin akan menyebabkan kesan negatif pada mereka.