Selasa, 24 Februari 2009

Tiada cadangan perkenal peraturan baru di sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak bercadang memperkenalkan peraturan baru untuk mengekang kes disiplin pelajar, sebaliknya mahu pengetua dan guru besar mengambil tindakan tegas menangani gejala itu dengan menggerakkan kerjasama semua guru di sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata peraturan sedia ada di sekolah menetapkan lima jenis tindakan boleh diambil terhadap pelajar bermasalah disiplin, sudah cukup lengkap, kukuh serta kemas.

Katanya, lima jenis tindakan secara berperingkat itu ialah amaran lisan, amaran bertulis, merotan, gantung persekolahan, diikuti langkah terakhir melaksanakan hukuman buang sekolah bagi pelajar didapati bersalah dalam kes disiplin berat.


"Peraturan sedia ada memperuntukkan kuasa cukup besar kepada pengetua dan guru besar sehingga dibenarkan mengambil langkah buang sekolah, tetapi tindakan itu tidak diambil sewenang-wenang kerana membabitkan masa depan pelajar. Lagipun dalam peringkat pelajar sedang membesar, kita lebih memilih pendekatan kaunseling.

"Sehubungan itu, kementerian tiada cadangan memperkenalkan peraturan disiplin baru. Sebaliknya yang penting, pengetua serta guru besar mesti menggunakan kuasa mereka dengan sewajarnya dan mengambil tindakan tegas mengikut peraturan ditetapkan.

"Saya meminta semua pengetua dan guru besar memberi perhatian terhadap isu disiplin pelajar, malah menggerakkan seluruh tenaga di sekolah untuk menangani gejala ini. Guru bukan hanya berperanan mengajar kandungan mata pelajaran, tetapi juga harus melihat aspek perkembangan disiplin pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam memetik Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, sebagai berharap Kementerian Pelajaran mempercepat peraturan baru sekolah yang lebih tegas dan kini masih dalam proses kajian.

Ini berikutan kematian pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Muhd Hadzrin Mohamad, awal pagi kelmarin selepas seminggu koma kerana dibelasah sekumpulan remaja.

Berita Harian Online: 23 Februari 2009

Tiada ulasan: