Sabtu, 28 Februari 2009

Guru j-QAF Sarawak, Sabah diabai

NASIB kami sebagai guru program kelas Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-QAF) di Sarawak agak malang. Saya rasa guru j-QAF di Semenanjung mungkin berbeza sedikit berbanding kami guru j-QAF yang jauh dari mata dan hati Kementerian Pelajaran. Itupun mungkin kerana mereka dekat dengan kementerian dan media.

Apa juga masalah cepat saja dapat diselesaikan. Apa saja rintihan dan aduan sering mendapat perhatian.

Sudah masuk tahun kelima kami warga j-QAF berbakti di bumi Sarawak, tetapi rasa seperti 15 tahun lamanya. Saya paparkan beberapa masalah yang dihadapi guru j-QAF untuk iktibar dan perhatian bersama.

Pertama, agihan jadual waktu mengajar yang sangat membebankan dan tidak adil. Contohnya, seorang guru j-QAF perlu mengajar 35-45 waktu seminggu berbanding guru lain termasuk guru Pendidikan Islam hanya puratanya 25 waktu.

Paling menyedihkan, kelas tasmik al-Quran j-QAF yang dijalankan di luar waktu persekolahan sering disalah anggap. Kelas percuma itu dikatakan ada elaun.

Seharusnya pihak sekolah memberi taklimat mengenai program j-QAF agar tidak menimbulkan salah sangka.

Namun, guru lain jika mengadakan kelas tambahan seperti Skim Baucer Tuisyen (SBT) dan Kelas Fardu Ain (Kafa), mereka akan dibayar. Purata perbezaan jumlah waktu mengajar antara guru j-QAF dengan guru lain adalah 10 waktu mengajar.

Lebih teruk lagi, kebanyakan sekolah di Sabah dan Sarawak yang tiada pertambahan guru j-QAF, mereka terpaksa mengajar dari Tahun Satu hingga Tahun Lima.

Bayangkan bagaimana persediaan untuk kelas dan rekod serta penilaian yang terpaksa dibuat. Jika banyak kelas dari tahun yang sama tidak mengapa, ini pula lima kelas dari tahun berbeza.

Belum dikira tugas lain lagi, dengan kokurikulumnya, tugas perkeranian, pembantu am rendah dan tukang kebun turut ada dalam senarai tugas guru j-QAF. Muridlah yang menjadi mangsa. Bagaimana hendak menumpukan perhatian jika beginilah keadaannya. Fikirkanlah.

Kedua, kemudahan prasarana j-QAF amat mengecewakan. Jika kementerian sanggup menghabiskan belanja besar untuk mata pelajaran lain, kenapa tidak kepada j-QAF?

Memang betul ada sekolah menikmati kemudahan termasuk seperti bilik j-QAF, alat bantu mengajar, kursus dan latihan serta peruntukan menganjurkan program.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya dinikmati sekolah tertentu. Bayangkan satu kelas terpaksa dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kadang-kadang murid terpaksa belajar di padang. Pada zaman moden kini dan Malaysia dikatakan negara maju dalam pendidikan, masih ada fenomena itu. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan.

Ketiga, guru j-QAF dianggap guru di luar kuota. Ada pentadbir sekolah mengatakan guru j-QAF tidak layak mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) disebabkan status guru j-QAF.

Keempat, pertukaran guru j-QAF secara luar biasa. Ada guru j-QAF yang berjaya mohon pertukaran walaupun kontrak belum tamat. Semua gara-gara ada ‘kabel.’ Kalau kementerian membenarkan pertukaran, janganlah hanya kerana orang yang ada ‘kabel’ lulus.

Kementerian mesti berlaku adil kepada semua guru j-QAF.

Baru-baru ini Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat menyatakan guru j-QAF akan dipertimbangkan untuk pertukaran dengan syarat - suka sama suka, sudah dilantik dan opsyen yang sama.

Tidakkah melampau dan tidak realistik syarat sebegitu? Alasan mereka mudah saja, tiada pengganti kalau dibenarkan berpindah. Tetapi, kenapa ditempatkan semua guru j-QAF yang baru di Semenanjung?

Kenapa tidak di Sarawak? Sasaran pencapaian j-QAF di Sabah dan Sarawak tidak akan tercapai sekiranya keadaan itu terus berlaku.

Guru j-QAF yang sudah lama di Sarawak dan Sabah sudah luntur semangat mengajarnya dek kerana sikap kementerian yang tidak peka dengan masalah mereka. Kerana itulah ramai guru yang tidak mahu ditempatkan di Sabah atau Sarawak.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang terpaksa didiamkan begitu saja. Mungkin inilah cabaran yang terpaksa dihadapi guru j-QAF.

Mungkin guru j-QAF insan yang akan mengembalikan wajah guru yang dulu seperti kata-kata sinis daripada guru lain ‘janganlah berkira sangat, ustazkan pentingkan pahala bukan ganjaran dunia, banyak mengajar dan kerja kira bagus lah.’

Semoga kenyataan berkenaan dizahirkan dengan ikhlas.



GURU J-QAF
TERLUKA,

Daro, Sarawak.

Berita Harian Online: 27 Februari 2009

Tiada ulasan: