KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran yang bimbang dengan peningkatan kes keganasan di sekolah, mengambil tindakan proaktif dengan mengatur mesyuarat dengan semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, perbincangan dengan semua wakil JPN akan diadakan bagi mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan kes keganasan di sekolah.
"Sebagai penyelesaian awal, saya sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Bahagian Sekolah dan sekolah yang terbabit dalam kes keganasan itu, bagaimanapun ia belum mencukupi.
"Laporan awal mengenai beberapa kes keganasan yang berlaku baru-baru ini dan juga statistik mengenai kes yang berlaku juga sudah saya peroleh, namun perincian mengenainya akan saya beritahu pada minggu depan selepas mengadakan perjumpaan dengan semua wakil JPN," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan seorang remaja, R Rajkumar, 16, cedera di kepala dan muka akibat di belasah sekumpulan pelajar di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Perdana ketika menjemput dua adiknya.
Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, memberi amaran pihaknya tidak akan berkompromi tindakan ganas membabitkan pelajar sekolah.
Katanya, satu jawatankuasa khas dengan struktur kaedah serta prosedur tetap untuk menyiasat kes seumpama itu sudah ditubuhkan.
"Saya sudah minta Timbalan Menteri (Dr Wee) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Disiplin untuk menyiasat hal ini.
"Tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa, insiden seperti ini akan berulang. Bagaimanapun, jika ia membabitkan hal disiplin, saya dan juga kementerian tegas serta tidak akan kompromi terhadap pelajar yang melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Berita Harian Online: 26 Februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan