Ahad, 8 Februari 2009

Kumpulan guru selami kesukaran rakan sekerja


ROMBONGAN guru terpaksa meredah lereng bukit melalui trek lori balak untuk ke Sekolah Kebangsaan Balar, kira-kira 100 kilometer dari Gua Musang, kelmarin.


GUA MUSANG 6 Feb. - Seramai 20 warga pendidik semalam dibawa oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan bagi merasai dan menyelami sendiri pengalaman rakan-rakan sejawat mereka yang bertugas di sebuah sekolah yang lokasinya paling jauh di pendalaman di negeri ini.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Rombongan guru yang diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kelantan, Zahari Daud itu terpaksa meredah hutan dan lereng bukit melalui trek lori balak yang becak dan lompang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam.

Mereka yang menaiki enam buah kenderaan pacuan empat roda turut meredah empat batang sungai sebelum sampai ke sekolah yang menempatkan murid-murid anak Orang Asli itu kira-kira pukul 4 petang.

Perjalanan yang berhadapan dengan keadaan sukar itu adalah sebahagian daripada rencah kehidupan 16 guru yang bertugas di SK Balar.

Guru-guru terbabit hanya keluar sekali setiap tiga minggu ke bandar Gua Musang dengan menumpang pacuan empat roda syarikat pembalakan atau menggunakan motosikal untuk membeli bekalan.

Kunjungan rombongan itu adalah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Turut sama dalam rombongan itu ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Norhashimah Abdul Rashid dan Guru Besar SK Bechah Laut, Zainun Hamzah yang turut menyampaikan ceramah motivasi kepada guru-guru terbabit.

Berucap pada majlis di sekolah itu, Zahari berkata, terdapat lebih 3,000 anak Orang Asli yang belajar di 12 buah sekolah di pedalaman Kelantan termasuk sebuah di jajahan Jeli.

Katanya, di pedalaman sebilangan guru seperti di SK Balar menerima elaun kesukaran RM1,000 sebulan dan ini diharap dapat merangsang mereka lebih gigih dan bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurut beliau, murid-murid di 12 buah sekolah itu dibimbing oleh kira-kira 300 guru termasuk yang baru ditawarkan mengajar sekolah-sekolah terlibat pada Januari lalu.

''Harapan JPN supaya mereka dapat berkhidmat dengan sepenuh hati bagi meningkatkan prestasi akademik terutamanya dalam UPSR 2009," ujarnya.

Katanya lagi, ia boleh dilakukan sebagaimana UPSR 2008, apabila buat pertama kalinya lima murid SK Balar mendapat sekurang-kurangnya 2A.

Beliau berkata, dua murid itu ialah Intosa Along Adil dan Yuyi Busu mendapat 2A, manakala Siti Pandak, Jalil Abu dan Hasmin Lebai mendapat 1A dan Sungkai Adu, Ajek Alug serta Azmi Alang pula lulus dalam semua subjek.

Kesemua mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Gua Musang.

Beliau seterusnya memberitahu, hanya komitmen guru dapat memastikan pencapaian anak Orang Asli termasuk dari suku kaum Temiar, Jahai dan Batek terus meningkat.

Utusan Malaysia Online: 7 Februari 2009

Tiada ulasan: