Jumaat, 20 Februari 2009

Ibu bapa, guru dorong murid sertai Klinik UPSR Didik

Oleh Rosdi Ismail


BERNADETTE Loi Kwang Yee dari SK Tengku Mariam, Batu Pahat, menerima sijil daripada Kuswandi sambil disaksikan Zainudin (dua dari kiri) dan Mohd Nuzi.

GALAKAN daripada guru supaya mendapatkan panduan terkini mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi dorongan kepada sebahagian besar peserta menyertai Klinik UPSR Didik peringkat Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Penyertaan mereka tepat kerana mendapat banyak manfaat terutama mengenai strategi belajar dan menjawab soalan dengan tepat dan berkesan, sekali gus sebagai persediaan awal untuk mengulang kaji pelajaran sebelum menduduki UPSR pada September depan.

“Selain itu, ibu bapa kami turut memberi dorongan menyertai klinik ini kerana ia berkesan dalam membantu memahami topik penting, khususnya yang dipelajari ketika di tahun lima,” kata mereka ketika ditemui di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Batu Pahat.


Seramai 250 peserta dari sekolah sekitar Batu Pahat dan daerah lain seperti Mersing, Segamat, Muar, Pontian, Kluang, Simpang Renggam, Ayer Hitam dan Yong Peng menyertai klinik dua hari itu.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Batu Pahat, Kuswandi Tayen.

Turut hadir Timbalan Pengarah Adtec, Mohd Nuzi Yaakub, Penolong Pengarang Pendidikan, Berita Harian, Mohamad Muda dan Pegawai Pemasaran The News Straits Times, Johor Bahru, Zainudin Rahim.

Peserta klinik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mariam, Batu Pahat, Farah Nadia Abdul Rahman, berkata selain mendapat pendedahan mengenai kaedah belajar program ini mendedahkan pelbagai teknik memilih jawapan yang tepat.

“Menyertai klinik ini bukanlah suatu yang sia-sia, malah pada hari pertama lagi saya berasa seronok apabila mudah memahami penerangan yang disampaikan penceramah,” katanya.

Berita harian Online: 19 Februari 2009

Tiada ulasan: