KOTA KINABALU 17 Feb. - Seorang guru agama yang sedang nyenyak tidur nyaris maut dalam kebakaran yang memusnahkan kuarters guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Rahmah Sembulan di sini hari ini.
Jumadir Tasa, 27, yang bersendirian ketika kejadian, menyelamatkan diri selepas dikejutkan rakannya, yang kebetulan datang melawat rumah kakitangan sekolah berkenaan.
"Saya sudah tidak ingat apa-apa lagi melainkan menyelamatkan diri sebaik sahaja dikejutkan rakan saya. Keadaan pada masa itu amat genting dan mencemaskan.
"Dalam keadaan asap tebal dan api yang marak begitu cepat kami berlari keluar dari rumah berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.
Jumadir berkata, dia tidak mengajar hari ini kerana mendapat cuti sakit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khairuddin Drahman berkata, seramai 18 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.
Menurutnya, sejurus tiba, hampir keseluruhan rumah tersebut terbakar dan pihak bomba mengambil masa setengah jam untuk memadam api.
"Api dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke asrama pelajar pada pukul 12.45 tengah hari. Punca kebakaran masih disiasat," katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan sekolah berkenaan, Abu Bakar Madisin berkata, beliau bersyukur kerana kebakaran itu tidak merebak ke asrama pelajar yang terletak bersebelahan.
"Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa. Jumlah kerugian kami anggarkan kira-kira RM70,000," katanya.
Utusan Malaysia Online: 18 Februari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan