Isnin, 9 Februari 2009

NUTP minta selaras gred

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my

Martabat guru Penolong Kanan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya gred guru Penolong Kanan di sekolah menengah di seluruh negara diselaraskan kepada gred DG48 sejajar dengan peranan, beban kerja serta tanggungjawab mereka yang berat.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata penyelarasan gred itu bertujuan mengekalkan keseimbangan dalam klasifikasi perkhidmatan berikutan guru Penolong Kanan di setiap sekolah menjalankan tanggungjawab dan komitmen sama.

"Setiap sekolah biasanya mempunyai tiga guru Penolong Kanan iaitu Penolong Kanan Kokurikulum yang memegang gred DG41 serta Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Kanan Pentadbiran yang masing-masing memegang gred DG44.

"Kami berpendapat gred mereka perlu diselaraskan kerana mereka bersama-sama memikul tanggungjawab besar membabitkan pencapaian sekolah dan ia tidak perlu dijadikan subjek untuk meletakkan gred berbeza terhadap mereka," katanya selepas melancarkan Tabung Untuk Kanak-Kanak Palestin di Gaza di sini, semalam.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menambah bilangan Jemaah Nazir yang kini seramai 450 orang kepada 1,000 orang selain menaikkan gred mereka yang berada pada DG41.

"Peranan mereka (Jemaah Nazir) amat penting dalam bekerjasama dengan Bahagian Sekolah, selain dari tugas biasa mereka (Jemaah Nazir) membuat penaziran dan menyalurkan cadangan untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan profesion guru," katanya.

Langkah itu katanya, penting kerana selain Bahagian Sekolah, Jemaah Nazir juga membantu menangani kes disiplin pelajar.

Berita Harian Online: 8 Februari 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kami ibu bapa setuju dengan cadangan selaraskan pangkat GPK kepada DG48!

Semua tugas GPK itu SAMA berat dan penting!!