Khamis, 19 Februari 2009

Pencapaian calon SMA meningkat

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

PERATUSAN kelulusan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) di 23 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) Negeri Selangor, tahun lalu meningkat 2.4 peratus kepada 82.5 peratus, berbanding 80.1 peratus sebelumnya.

Seramai 262 daripada keseluruhan 2,446 calon yang mengambil peperiksaan itu mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), manakala 720 Jaiyid Jiddan (Sangat Baik), 580 Jaiyid (Baik), 455 lagi Maqbul (Lulus) dan 429 memperoleh Rosib (Gagal).

Penolong Pengarah Kanan, Unit Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Agama Islam Selangor, Awiyah Rahmat, berkata SAM Bestari USJ5 Subang Jaya, mengekalkan pencapaian cemerlang peperiksaan itu apabila mendapat kelulusan 100 peratus serta gred purata sekolah (GPS) cemerlang iaitu 1.38.


Katanya, 58 peratus atau 82 pelajar daripada keseluruhan 142 calon sekolah berkenaan mendapat Mumtaz, manakala 42 peratus atau 60 lagi Jaiyid Jiddan.

Awiyah berkata, tujuh SABK lain turut tersenarai sekolah terbaik berdasarkan GPS cemerlang iaitu SABK Tinggi Hisamuddin Jalan Kota Raja (1.98), SABK Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam (2.28), SABK Hulu Langat Batu 10 (2.48), SABK Sungai Merab Luar (2.58), SABK Rawang (2.72), SABK Bandar Baru Salak Tinggi (2.80) dan SABK Hisamuddin Jalan Tepi Sg Berteh, Klang (2.98).

“Seramai 2,446 calon menduduki peperiksaan SMA pada tahun lalu dan 82.5 peratus daripadanya lulus, manakala 17.5 peratus gagal.

“Lapan sekolah dipilih sebagai terbaik peperiksaan berdasarkan GPS cemerlang iaitu di antara 1.38 dan 2.98.

“Anugerah Pelajar Cemerlang SMA 2008 diraih Muhammad Ihsan Khalib Jaafar dari SABK Hisamuddin Jalan Kota Raja Klang dengan pencapaian Mumtaz iaitu 97 peratus dan pelajar SAM Bestari USJ5 Subang Jaya, Aliyah Ahmad Bahari juga mendapat Mumtaz (98.4 peratus),” katanya kepada Berita Harian, kelmarin.

Mengenai pencapaian berdasarkan mata pelajaran, Awiyah berkata, Tafsir dan Hadis mencatat peningkatan 19.3 peratus kepada 79.6 peratus, berbanding 60.3 peratus tahun sebelumnya, manakala Tilawah dan Hafazan mengekalkan kadar lulus 99.8 peratus.

Namun, katanya, tiga subjek mencatat penurunan peratusan iaitu Bahasa Arab 1 berkurang 7.2 peratus kepada 64.5 peratus, Bahasa Arab 2 menurun 6.8 peratus kepada 77 peratus serta Feqah/Tauhid jatuh 7.1 peratus kepada 75 peratus.

Peperiksaan SMA diwajibkan kepada semua pelajar SABK ketika mereka belajar di tingkatan empat dan sukatan

pelajaran pembelajaran adalah berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia dan al-Azhar.

Lulusan SMA layak melanjutkan pelajaran ke maktab, kolej serta institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk universiti Islam di Timur Tengah.

Berita Harian Online: 18 Februari 2009

Tiada ulasan: