Jumaat, 20 Februari 2009

Pengalaman ke SK Kampung Senta, Bidor

PADA 10 Februari 2009 lalu, saya menghantar menantu saya melapor diri sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Kampung Senta, Bidor, Perak iaitu sebuah perkampungan Orang Asli, yang jarak jauhnya dari pekan Bidor lebih kurang 12 kilometer. Suaminya bertugas sebagai guru di daerah Selama, Perak.

Apa yang hendak saya katakan ialah keadaan jalan yang amat teruk untuk sampai ke sekolah itu. Dari pekan Bidor ke persimpangan kampung sejauh 7 kilometer laluan melalui jalan tar, dari persimpangan ini ke Ladang Felcra sejauh 3 km, jalan laluan balak dengan keadaan berlopak-lopak, meredah aliran air dan batu-batu sungai yang berukuran agak besar.

Selepas Ladang Felcra masuk ke Kampung Senta sejauh 2 kilometer melalui jalan yang diturap tar terus ke sekolah. Perjalanan ke sekolah dan sebaliknya terdedah kepada keselamatan yang tidak terjamin.

Pengalaman yang sama juga sempat saya kongsi dengan guru-guru dan kakitangan sekolah seramai 12 orang (6 orang guru lelaki, 5 orang guru wanita dan 1 orang kerani). Mereka tinggal menyewa rumah di luar sama ada di pekan Bidor, Tapah atau Sungkai dan berulang-alik ke sekolah dengan bermotosikal, termasuk tiga orang guru dari Orang Asli sendiri.

Menaiki kereta di jalan ini adalah tidak sesuai dengan keadaan jalan yang tidak rata. Malangnya, menantu saya tidak pandai menaiki motosikal, maka terpaksa menggunakan kereta. Jika berlaku hujan, jalan tidak boleh dilalui dan terpaksa menunggu sehingga air surut. Bermakna sesi pengajaran tertunda atau tertinggal.

Dari raut muka guru-guru tersebut dapat difahami bahawa mereka reda dan amat telus bertugas di situ yang terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dan masalah. Keadaan fizikal bangunan sekolah dan kawasan sekitar adalah baik, boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain yang seumpamanya.

Walaupun saya tidak ada kaitan dengan pembangunan di kampung tersebut, saya amat bersimpati dengan apa yang dihadapi oleh penduduk setempat dan kakitangan kerajaan yang bertugas.

Semua berharap pihak-pihak yang berwajib iaitu Menteri Pelajaran, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Besar, Wakil Rakyat, Jabatan Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Felcra, JKKK dan lain-lain dapat memberi perhatian dan disegerakan membina jalan tar masuk ke Kampung Senta.

Atas perhatian amatlah dihargai.

BAPA GURU KPLI

Selama, Perak

Utusan Malaysia Online: 19 Februari 2009

Tiada ulasan: