Khamis, 5 Februari 2009

Sekolah Terbilang: Terus unggul

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@baharian.com.my


Sekolah Agama Menengah Bestari USJ 5, Subang Jaya.

SAM Bestari lahir ramai pelajar cemerlang, berjaya masuk IPT dalam dan luar negara

KREATIVITI, kerjasama dan komitmen tinggi yang diamalkan semua pihak menjadi pemangkin Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari) USJ 5, Subang Jaya, terus unggul di kalangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sama ada bidang akademik mahupun kokurikulum.

Walaupun baru 11 tahun beroperasi SAM Bestari terbukti berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang yang kini telah dan sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang.

Guru Penolong Kanan Akademik sekolah itu, Sabariah Jaafar, berkata kecemerlangan dicapai membolehkan sekolahnya menerima Anugerah Kecemerlangan Lonjakan Saujana 2007 dan Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (2001 dan 2003) kerana tersenarai sebagai 25 sekolah terbaik dengan gred purata sekolah 2.1.

Katanya, pencapaian dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah turut membanggakan kerana hampir semua pelajar sekolah itu mendapat 8A dan 9A, sekali gus kekal sebagai sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran dan al-Azhar.

“Lepasan SAM Bestari, mudah mendapat tempat di IPT di Timur Tengah dalam pelbagai bidang terutama kedoktoran dan kejuruteraan, selain Syariah dan Usuludin.

PELAJAR tekun mengikuti pelajaran di makmal yang serba lengkap.

“Dua pelajar kami terpilih mengikuti pengajian berkembar Kolej Taylor’s dengan universiti di Australia dalam bidang perubatan pada 2005.

“Selain itu, ada juga yang melanjutkan pengajian ke Jerman, Perancis, Korea dan Jepun dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Sejak mendaftar sebagai SABK dengan Kementerian Pelajaran pada 2006 sekolah berkenaan menerima pelbagai bantuan, sekali gus membantu meningkatkan usaha melahirkan modal insan gemilang.

Bantuan itu termasuk peruntukan kewangan, alat bantu mengajar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris termasuk projektor LCD, komputer riba, Perisian Kursus Pendidikan (CDRI) serta peralatan audio.

PELAJAR mengikuti kelas komputer bagi meningkatkan pengetahuan ICT.

Sabariah berkata, kemudahan itu meningkatkan komitmen guru dan pelajar, sekali gus melonjak pencapaian akademik sekolahnya.

Katanya, ia juga dapat memantapkan kaedah penyampaian guru dalam kelas termasuk dalam subjek agama terutama bahasa Arab serta Pendidikan al-Quran dan Sunnah.

“Sebelum ini, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kami tertumpu di makmal komputer yang dilengkapi 200 komputer.

“Dengan pembekalan projektor LCD, guru subjek lain boleh memanfaatkannya perisian CDRI dan program yang mereka bangunkan sendiri mengikut kesesuaian subjek,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengulas pencapaian kokurikulum, Sabariah berkata, kegiatan Amal Islami yang merangkumi nasyid, khat, bahas, syarahan, tahfiz al-Quran, pengurusan jenazah dan kuiz adalah kekuatan sekolah itu.

“Sejak 2000, sekolah kami kekal johan keseluruhan pertandingan Amal Islami Antara Sekolah Jabatan Agama Islam Selangor dan kini mula menonjol dalam pertandingan Tilawah al-Quran,” katanya.

SAM Bestari kini mempunyai 800 pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima serta 60 guru menawarkan kurikulum Kementerian Pelajaran dan JAIS.

Berita Harian Online: 4 Februari 2009

Tiada ulasan: