Rabu, 6 Julai 2011

Baharui jentera pentadbiran

PUTRAJAYA 5 Julai - Pelaksanaan transformasi total di Kementerian Pelajaran perlu bermula dengan pembaharuan dalam jentera pentadbirannya sendiri yang sebelum ini bersifat 'atas ke bawah' kepada gabungan jalinan dari semua peringkat jawatan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini supaya idea baru yang boleh memberikan nilai tambah atau manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Fokus kita bukan lagi hanya kepada menyelesaikan sesuatu tugasan yang diarahkan tetapi seharusnya memikirkan 'apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan apa yang mereka perlukan apabila berurusan dengan kita.

"Oleh itu, warga kementerian perlu mempersiapkan diri untuk menjadi penjawat awam yang mempunyai kepelbagaian kemahiran dan serba boleh bagi menjayakan transformasi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran 2010 di sini hari ini.

Seramai 417 warga Kementerian Pelajaran daripada pelbagai peringkat jawatan terpilih untuk menerima penghargaan atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, ketua jabatan dan agensi perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan potensi dan kompetensi kakitangan masing-masing supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik.

"Pelaburan dalam penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang sesuai dari segi lokasi yang kondusif, kurikulum kursus yang berkesan dan tenaga pengajar yang mahir dapat melahirkan warga kerja yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

''Malah, pelaksanaan dan perubahan itu juga hendaklah sehingga ke peringkat institusi sekolah kerana saya percaya ini akan secara terus memberikan impak besar kepada proses pembelajaran dan kemenjadian murid dalam jangka masa terdekat ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 6 Julai 2011

2 ulasan:

bapa prihatin jelawat bachok berkata...

setuju dgn YAB TPM,
1)."jentera pentadbiran Kementerian Pelajaran bersifat 'atas ke bawah'".
komen saya: amalkan konsep pengurusan 360.

2)."memastikan pelanggan berpuashati apabila berurusan dgn kita".
komen saya : Kenalpasti Pelanggan : i.Pelajar adalah Pelanggan Dalaman ii. Ibubapa adalah Pelanggan Luaran.

sekadar pandangan.

guru lama berkata...

Setuju supaya jentera pentadbiran diubah segera.Pertama perkasakan pentadbiran di semua sekolah dengan menggantikan GB-GB dan Pengetua yang mempunyai gred rendah berbanding dengan guru-gurunya. SEMUA PENTADBIR MESTI LEBIH TINGGI BERBANDING DENGAN GURU-GURUNYA. Sebagai contoh di sekolah rendah, jika sekolah tersebut mempunyai guru berijazah sekurang-kurangnya DG41, Gb perlu ada DG44 atau keatas. Manakala di sekolah menengah jika guru-gurunya mempunyai Gred 52 maka Pengetua mesti gred DG54 atau jika sekolah tersebut ada guru di Gred 54 maka Pengetua mesti berada di JUSA C. dengan ini maka wibawa GB dan Pengetua sangat dihargai oleh guru. Apa yang kita lihat sekarang ialah kalau di sekolah rendah kebanyakan gurunya ada ijazah tetapi Gb hanya gred 34 atau 38. Dan, di sekolah menengah ada guru pakar atau guru cemerlang mempunyai Gred 52 tetapi Pengetuanya masih di Gred 48. Gred ini sahaja menunjukkan wibawa seorang pemimpin.

Oleh kerana kebanyakan sekolah menengah sekarang mempunyai Pengetua yang mempunyai Gred DG52 maka sekurang-kurangnya Gred seseorang PPD ialah Gred 52 atau ke atas, tetapi apa yang kita lihat sekrang ini kebanyakan PPG hanya berada di Gred 48 sedangkan Pengetuanya GD52,DG54 ATAU JUSA. Persoalannya, bagaimana seseorang PPD mengarahkan seseorang Pengetua yang lebih tinggi gred darinya. Ini sangat ganjil dan tidak patut berlaku..

Ada sesetengah guru berkata " apa ada dengan gred?"". Tetapi untuk memperkasakan pentadbiran sekolah dan PPD, gred seseorang pegawai itu diambil kira merupakan satu kuasa yang sangat dihormati oleh seseorang. Kita bukan gila pangkat seperti mana yang disebut oleh sesetengah guru yang tidak kisah tentang gred tetapi dalam satu organisasi gred itu menunjukkan wibawa yang membolehkan seseorang ketua bertindak tanpa ada rasa rendah diri.

Sama juga seperti seorang pengawas sekolah , seorang pengawas sekoah yang berada di tingkatan 2,3,4 tidak akan berani mengarah pelajar di tingkatan 5 , atau 6 kerana mereka menyedari kedudukan mereka sebagai pelajar yang lebih rendah berbanding dengan pelajar menengah atas. Begitulah juga dengan seseorang Ketua Pentadbir, jika hanya mempunyai gred Dg48 sedangkan guru-gurunya berada di gred 52 atau keatas pasti ada rasa rendah diri atau untuk mengatasi masalah tersebut pengetua berkenaan akan bertindak dengan menunjukkan kuasanya sebagai ketua yang akhirnya menimbulkan masalah perhubungan dengan guru-guru berkenaan.

jadi, pendek cerita Ketua Pentadbir hendaklah diberikan gred yang lebih tinggi mengatasi guru-gurunya.

Inilah pendapat saya sebagai guru lama yang melihat banyak kepincangan dalam pentadbioran sekoah sekarang. Ini adalah hakikat yang perlu ditangani. Mungkin pendapat saya tidak dipersetujui oleh orang lain tapi inilah yang sepatutnya berlaku di sekolah.


SEKIAN...