Oleh Ihsan Noorzali
upen@bharian.com.my
2011/08/01
PERANAN sekolah semakin mencabar sehingga boleh mengubah landskap profesion perguruan negara, sekali gus peranan pendidik terus berkembang selaras perkembangan semasa dunia pendidikan, iaitu bidang sosial yang tidak statik.Profesor Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Omar Abdull Kareem, berkata adalah malang jika guru menjadi `banduan kepada pengalaman’ sendiri.
Katanya, strategi, pendekatan, kaedah, teknik pengajaran dan pembelajaran akan berubah yang dipengaruhi keperluan semasa dan peningkatan tahap pengetahuan pelajar kesan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Pendidikan bukan sahaja proses pemindahan ilmu dan kemahiran, tetapi merangkumi proses membangun potensi pelajar secara bersepadu membabitkan aspek pembangunan minda, fizikal dan rohani untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara.
“Aspek kerohanian penting dalam pembangunan guru dan kepemimpinan sekolah kerana pemimpin sekolah dan guru yang berjaya adalah mereka yang komited serta disokong akhlak dan nilai positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Syarahan Perdana sempena pelantikannya sebagai Profesor di Auditorium Utama UPSI, Tanjong Malim, Perak, baru-baru ini.
Lebih 500 tenaga akademik dan pelajar universiti itu menghadiri syarahan berkenaan.
Omar yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UPSI berkata, guru perlu membina budaya sosial positif di sekolah melalui amalan kerjasama tanpa berkisar isu peribadi.
Sehubungan itu katanya, dalam memupuk semangat bekerjasama dalam kalangan guru, pengetua perlu bijak mengenalpasti kekuatan dan kelemahan guru, memberi bimbingan, komunikasi dua hala dan mengukuhkan amalan pembelajaran kendiri.
“Apapun, keikhlasan dalam mendidik dan memimpin akan mencipta satu tenaga untuk menghadapi cabaran dan segala kemungkinan di dalam dunia pendidikan,” katanya.
Omar memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Pendidikan) dari Universiti Pertanian Malaysia (Sekarang Universiti Putra Malaysia) pada 1985, Sarjana Pendidikan di Universiti Malaya (1994) dan Ijazah Doktor Falsafah dari Virginia Polytechnic Institute & State University , Virginia, Amerika Syarikat pada 2000.
Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI ( 2006-2010) dan Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Perniagaan dan Ekonomi pada 2002 hingga 2006.
Berita Harian Online: 1 Ogos 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan