Khamis, 28 Julai 2011

Minda Pengarang: Guru sandaran diserap patut buktikan mereka layak

2011/07/28

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran untuk serap kira-kira 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sebagai guru tetap tentunya membawa khabar gembira buat semua guru terbabit. Sesetengah daripada mereka sudah bertahun-tahun berkhidmat dan tentunya mereka berasa kecewa apabila Kementerian Pelajaran mahu menamatkan perkhidmatan mereka begitu saja pada 31 Disember tahun lalu. Berikutan itu ramai yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan. Walaupun khidmat tidak disambung, hakikatnya guru terbabit masih berminat menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya tetap. Tetapi dengan perkembangan terbaru itu, mereka pastinya berasa lega. Kita percaya keputusan kementerian itu adalah pengiktirafan di atas sumbangan semua guru terbabit. Walaupun sebelum ini hanya sebagai guru sandaran, tetapi mereka sebenarnya berpengalaman dan mempunyai komitmen tinggi dengan tugas diamanahkan. Sehubungan itu, pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kelmarin, untuk menawarkan semua GSTT sebagai guru tetap membuka peluang kepada mereka untuk terus berkhidmat. Mohd Puad menjelaskan kementerian sudah mengeluarkan surat tawaran kepada semua GSTT baru-baru ini. Justeru, semua guru terbabit akan mengikuti kursus di institut pendidikan guru (IPG) atau program Kursus Dalam Cuti (KBC) bagi membolehkan mereka menjadi guru tetap. Keputusan itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan rintihan guru terbabit apabila kontrak tidak disambung dan berdepan ketidaktentuan punca pendapatan, apatah lagi untuk mencari pekerjaan lain.

Justeru, kita percaya keputusan kerajaan menyerap semua GSTT sebagai guru tetap, pada masa sama dapat menampung kekurangan guru ketika ini, terutama dalam subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris. Dengan perkembangan terbaru itu, semua guru terbabit harus membuktikan komitmen penuh terhadap tugas apabila diserapkan sebagai guru tetap. Kita tidak mahu selepas peluang diberi mereka mempersia-siakan tanggungjawab yang diberi bagi mendidik anak bangsa. Malah, mereka juga perlu bersedia untuk ditempatkan di sekolah luar bandar, malah di pedalaman sekali pun. Jangan ada guru yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak dihantar mengajar di sekolah luar bandar atau pedalaman. Sebagai guru, mereka harus sedar bahawa mereka adalah penggerak dan agen perubahan masyarakat serta pelaksana pelbagai dasar kerajaan dalam bidang pendidikan. Mereka juga dapat menjadi pencetus kepada semangat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menggariskan pelbagai inisiatif mempertingkatkan pencapaian pelajar dan langkah awal kepada transformasi pendidikan secara menyeluruh.

Berita Harian Online: 28 Julai 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apabila GSTT diserap seramai 13'000, bagaimana dengan nasib kami yang terlatih ini? Saya wakil guru2 terlatih yang baru sahaja menamatkan dip pend dan kursus pnddkan baru2 ini berasa tidak selesa kerana kami mungkin menjadi mangsa lambat posting....

Tanpa Nama berkata...

Bakal Guru Lulusan (diulang LULUSAN) KPLI atau PISMP perlu bersabar kerana masalah kita semua sedang dikaji untuk mencari ruang penempatan. sabar sebahagian dari iman. Ada rezeki, maka ada lah penempatan kita nanti. Kita ada masa satu tahun untuk ditempatkan seperti dalam perjanjian.