Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2011/07/17
Berkesan laksana formula 1:3:7KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan jawatan guru penolong kanan disiplin bagi melengkapkan pelaksanaan Prosedur Standard (SOP) Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid yang menetapkan masalah disiplin pelajar perlu diselesaikan dalam seminggu di semua peringkat.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata dengan wujudnya perjawatan itu, pelaksanaan SOP menangani disiplin di sekolah bukan hanya cepat dan mudah dilaksanakan, malah melicinkan lagi prosedur berkenaan.
Beliau berkata, sudah tiba masanya jawatan itu diwujudkan bagi melancarkan lagi tadbir urus sekolah membabitkan soal disiplin murid seperti wujudnya jawatan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Penolong Kanan Kokurikulum.
“SOP menangani masalah disiplin seperti dalam Pekeliling Ketua Pengarah Pelajaran yang diperkenalkan itu satu rasional, wajar dan praktikal dilaksanakan. PIBGN sangat menyokong usaha itu.
“Namun, pelaksanaannya akan lebih licin jika ada orang dilantik menyelenggara dan menyelia perkara itu,” katanya mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai langkah terbaru Kementerian Pelajaran menetapkan penyelesaian masalah disiplin pelajar wajib diselesaikan dalam seminggu pada semua peringkat.
Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.
Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahupun hukuman atau penyelesaian lain yang dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.
Menyambut baik langkah terbaru Kementerian Pelajaran itu, Mohamad Ali berkata, pelaksanaan SOP juga perlu mengambil kira kesan jangka panjang selain tahap kesalahan disiplin dilakukan pelajar.
“Jika masalah disiplin pelajar adalah kes jenayah maka cara menanganinya berbeza dengan masalah kesalahan yang biasa di sekolah. Justeru, sudah tentu ada penyertaan pihak luar seperti polis, ibu bapa dan pemimpin masyarakat setempat.
“Saya harap penyertaan banyak pihak dalam menangani isu disiplin juga perlu diwujudkan termasuk kalangan ibu bapa dan pemimpin komuniti supaya masalah itu bukan hanya menjadi tanggungjawab guru dan pihak sekolah selain menjamin penyelesaian memuaskan hati semua pihak serta pelajar yang terbabit dalam kes disiplin,” katanya.
Berita Harian Online: 17 Julai 2011
7 ulasan:
Usul dan cadangan pihak PIBGN saya nampak tergesa-gesa dan perlu dikaji balik.
Bagi saya, jumlah kes disiplin per hari di sekolah perlu diambilkira sebagai dasar asas permohonan jawatan baru ini.
Apakah Pengetua/Guru Besar terlalu sibuk ..
Sebenarnya, perkhidmatan pendidikan memerlukan satu transformasi besar-besaran.... bukan shj pk disiplin, banyak jwtn lain perlu diwujudkan + norma perjawatan yg sudah ketingglaan zaman. tak sama 10-15 thn dahulu dgn skrg.
Kesian anak-anak murid kat sekolah. jgn salahkan guru, tetapi dasar kita yg pincang.
Bagi saya jawatan PK Disiplin tu tidak perlu wujud kerana masalah pelajar ini sudah diletakkan di bawah HEM. Kekalkan sahaja jawatan Penyelaras Disiplin Sekolah, cuma apa yang perlu diubah ialah nilai gred jawatan tersebut yang perlu dinaikkan tarafnya dari gred DG41 ke DG44 hakiki atau DGA29 ke DGA32 hakiki. Jadi Jawatan Penyelaras Disiplin itu dihakikikan supaya guru-guru yang menduduki jawatan tersebut adalah guru-guru yang berpengalaman dan diperakui oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Begitu juga halnya dengan Guru Sukan di sekolah patut jawatan tersebut di hakikikan supaya guru-guru yang dilantik betul-betul dapat fokus pada kerjanya sebagai guru kanan di sekolah.
Selama ini sebut sahaja Guru Disiplin atau Guru Sukan semua guru menolak kerana jawatan tersebut selalu sibuk. Jadi, dengan menghakikikan jawatan tersebut dapat memberikan momentum kepada guru-guru yang dilantik.
APA PUN, PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SUDAH KETINGGALAN ZAMAN..
Orang yang berada di luar bidang keguruan biasanya kurang memahami masalah guru-guru secara lebih mendalam. Pandangan luaran memang menggambarkan guru bekerja dari pukul 7.15 pagi dan berakhir kira-kira jam 2.00 petang. Hakikatnya, hanya guru sahaja yang memahami.
Kepada bapa yang memberi komen, saya berpendapat ianya hanyalah pendapat yang membuta tuli dan tidak berasas sama sekali sekaligus ia boleh menjatuhkan moral guru-guru.
Saya berharap agar semua bapa memberi kerjasama mantap kepada guru-guru agar segala matlamat kementerian tercapai. Wallahuaklam.
PIBGN itu terdiri daripada bekas guru dan pensyarah. mereka tahu apa yang baik untuk sekolah. Cadangan itu baik demi kebaikan guru-guru dan juga meluaskan bidang perjawatan di sekolah memudahkan KPM meletakkan guru-guru yang naik pangkat.
guru bertanggujawab berbicara
Setiap perubahan dan cadangan yang membawa kepada kebaikan walaupun sedikit perlulah disokong.. kerana ianya satu penghijrahan..
Catat Ulasan