Sabtu, 22 November 2008

Guru j-QAF perlu mahir bahasa Arab, bukan hanya berkelulusan agama

Oleh Rosniza Mohd Taha

BERKELULUSAN agama saja belum mencukupi bagi memohon jawatan guru Program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF), sebaliknya calon perlu menguasai kemahiran bahasa Arab.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya menghadapi masalah kekurangan calon berkelayakan bagi memohon jawatan itu kerana kebanyakannya berkelulusan agama saja tetapi tidak menguasai berbahasa Arab.

Kekangan itu, katanya, dikhuatiri menjejaskan usaha mencapai sasaran 32,171 guru j-QAF menjelang 2010 bagi membolehkan program dilaksanakan sepenuhnya di semua 7,000 sekolah rendah seluruh negara.

“Pengajaran bahasa Arab adalah salah satu komponen program j-QAF, justeru mereka juga perlu mahir bahasa itu. Namun, kini kebanyakannya pemohon termasuk lulusan agama dari Mesir dan Jordan tidak fasih bahasa berkenaan.

“Peluang lulusan agama membina kerjaya sebagai pendidik terbuka luas dengan adanya program j-QAF, justeru, ia perlu direbut bagi mereka yang berkelayakan termasuk menguasai bahasa Arab,” katanya kepada Berita Harian pada sidang kedua Majlis Konvokesyen Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah j-QAF 2008, di Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata sejak diperkenalkan pada 2004, seramai 11,133 guru j-QAF berjaya dilahirkan, sekali gus membolehkan pelaksanaan program berkenaan di 50 peratus sekolah rendah.

Beliau mengingatkan guru j-QAF supaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi memastikan generasi masa depan menguasai pendidikan asas Islam.

“j-QAF adalah sebahagian usaha memperkasa pendidikan Islam di sekolah rendah dalam usaha meningkatkan penghayatan agama serta nilai akhlak generasi muda sejajar falsafah pendidikan kebangsaan iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

“Malah difahamkan sejak program j-QAF diwujudkan, semakin ramai murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) beralih ke sekolah kebangsaan,” katanya ketika berucap merasmikan konvokesyen itu.

Razali berkata, kementerian mengalu-alukan penyertaan lebih banyak SAR dan SAN menyertai program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi membolehkan mutu pendidikan Islam sekolah kerajaan negeri itu dipertingkatkan.

“Antara rungutan sering kedengaran mengenai SAR dan SAN adalah kemudahan infrastruktur dan kualiti tenaga pengajar. Dengan memasuki SABK, kerajaan pusat boleh membantu mereka menangani kelemahan itu.

“Sebagai contoh, baru-baru ini, sebanyak RM200 juta daripada pakej rangsangan bajet diumumkan kerajaan diperuntukkan bagi pembangunan dan naik taraf Sekolah Bantuan Kerajaan termasuk SABK,” katanya.

Berita Harian Online: 21 November 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ada sesetengah guru jqaf ni memilih betul tugas. bab bersukan pun pandai pulau2 cikgu lain.

isyy, meluat pulak tengok. jgn macam tu dik, beri pandangan atau buah fikiran kalau kurang setuju, bukan bisik2 di kantin saja.

cikgu lama
johor.