Ahad, 31 Mei 2009
Benar PIBG kutip 'yuran aksesori'
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, bagaimanapun berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bagi bayaran yuran tambahan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada PIGB serta pihak sekolah.
“Pekeliling mengenai perkara itu sudah diedarkan tanpa ada jumlah minimum dan maksimum, cuma ia perlu dibuat selaras keperluan sekolah, aktiviti pelajar dan juga latar belakang ibu bapa.
“Kementerian menetapkan dua kriteria utama di dalam penetapan bayaran yuran tambahan iaitu akademik dan latar belakang ibu bapa pelajar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Konvokesyen Program Berkembar Sarjana Muda Pendidikan (TESL), Institut Pendidikan Guru Malaysia - Kampus Bahasa Antarabangsa, di sini, semalam.
Berita Harian Online: 31 Mei 2009
JPN Kelantan lancar operasi pantau kantin sekolah
KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah melancarkan operasi gerak gempur ke kantin dan dewan makan sekolah di seluruh negeri ini sebagai langkah membanteras berulangnya kes keracunan makanan.
Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Pelajar Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN, Siti Meriam Mohamed berkata, langkah tersebut dilakukan kerana Kelantan antara negeri yang mencatat kes tertinggi.
''Tahun lepas sebanyak 33 kes keracunan dicatatkan sepanjang tahun di negeri ini dan ia antara yang tertinggi selepas Sabah.
''Selepas berlaku banyak kes, JPN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusahanya termasuk menyita kantin sebelum kes keracunan berlaku," ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, sebelum ini tindakan menyita kantin diambil selepas sesuatu kes terjadi, tetapi dalam operasi gerak gempur tersebut, kantin yang didapati kotor akan terus diberi amaran.
''Sejak operasi tersebut dilakukan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 13 kes dikesan dan JPN kini berusaha mengurangkan jumlah tersebut daripada tahun sebelumnya.
''Semua pegawai yang terlibat akan memantau sebanyak 540 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini dengan mengadakan lawatan mengejut ke kantin-kantin termasuk pengarah JPN dan timbalannya bersetuju untuk turun padang," ujarnya.
Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2009
Tidak terhad bidang akademik
pengarang@utusan.com.my
|
|
KUALA LUMPUR 30 Mei - Keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhad kepada bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan terhadap perkara lain.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sedia mendengar apa jua cadangan serta pandangan daripada pihak luar antaranya parti-parti politik berhubung keputusan kerajaan itu.
''Kita sedia mendengar cadangan dan pandangan mereka mengenai perkara ini. Pintu perbincangan masih terbuka. Tidak kira sama ada pihak MCA atau MIC masing-masing boleh memberikan cadangan dan pandangan.
''Namun begitu seperti yang dinyatakan, kajian pihak kementerian merasakan penekanan tidak harus diberi kepada akademik sahaja tetapi ada beberapa perkara lain yang juga perlu diberi tumpuan yang sama,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Karnival Victoria Institution di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang membantah pelaksanaan mengehadkan 10 subjek dalam peperiksaan SPM mulai tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dalam sebuah akhbar tempatan hari ini pula menyatakan bilangan subjek teras SPM akan dikurangkan kepada tiga atau empat berbanding enam subjek selaras dengan keputusan terbaru kerajaan itu.
Muhyiddin berkata, langkah tersebut juga akan memudahkan pihak kementerian memastikan subjek-subjek teras diberi tumpuan sepenuhnya oleh pelajar.
''Mereka diwajib mengambil subjek teras tetapi dalam masa yang sama mereka boleh mengambil subjek-subjek elektif tetapi tidak boleh lebih 10 subjek,'' katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian mahu pelajar yang dilahirkan serba boleh iaitu bukan setakat bijak dalam akademik tetapi mampu menguasai kemahiran lain terutama berkaitan aktiviti kemasyarakatan.
''Seperti yang dinyatakan sebelum ini, daripada 500,000 pelajar SPM jumlah mereka yang mengambil lebih 10 subjek hanya 10 peratus dan ini juga merupakan salah satu faktor yang diambil kira oleh pihak kementerian,'' katanya.
Sementara itu beliau berkata, proses pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk penentuan calon yang layak dibuat secara telus.
Utusan Malaysia Online: 31 Mei 2009
Sabtu, 30 Mei 2009
Pakar pendidikan perlu diberi ruang berbicara, luah pendapat
Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid
KELMARIN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa mulai tahun depan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran, susulan kenyataannya seminggu lalu mengenai isu itu. Apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan pelajar, guru dan negara amnya.
Ini adalah tanggungjawabnya sebagai Menteri Pelajaran bagi memastikan perjalanan dan kesan positif bagi peperiksaan SPM, yang dianggap sebagai satu peperiksaan penting dalam sistem pendidikan menengah di negara kita.
Alasan yang diberikan Muhyiddin adalah dengan mengehadkan 10 mata pelajaran, akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras; sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran dan memberi manfaat kepada ibu bapa kerana terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen.
Alasan yang diberikan itu adalah benar, tetapi tidak tepat bagi semua keadaan. Calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran tidak semata-mata bergantung kepada guru di sekolah dan tidak semuanya mengikuti kelas tuisyen.
Calon yang mengambil lebih daripada 15 mata pelajaran ini adalah sebilangan calon yang ‘terpilih’ saja. Bilangan yang mengambil lebih 10 mata pelajaran agak kecil, hanya kira-kira 10 peratus (48,000) daripada 500,000 calon SPM tahun lalu. Angka ini akan menjadi lebih kecil jika mengambil kira calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran.
Saya tidak sekali-kali menolak apa yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran itu, tetapi perbincangan dalam tempoh yang singkat sebelum menetapkan keputusan ini wajar dinilai semula. Sama ada hadkan kepada 10 mata pelajaran ini baik atau tidak perlu dibincangkan dengan lebih mendalam dan dilihat daripada pelbagai sudut dan persekitaran.
Pernyataan ‘mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran’ agak keras sifatnya. Saya berpendapat kita harus menilai daripada beberapa sudut, pelbagai persekitaran dengan lebih mendalam dan penilaian lebih lama serta benar-benar terperinci.
Pakar pendidikan harus dibenarkan berbicara dan meluahkan pendapat serta pandangan secara terbuka, bebas dan berwawasan jauh. Kesan jangka panjang pendidikan mesti dijadikan objektif utama dan asas perkembangan ilmu mesti dilihat dengan teliti serta benar-benar terperinci dan tidak sekali-kali dipengaruhi faktor remeh yang bersifat sementara.
Saya ingin mengambil satu contoh mudah iaitu seorang pelajar aliran agama yang berminat dalam bidang sains akan menghadapi masalah dengan ketetapan baru ini. Sila lihat senarai subjek bagi memudahkan perbincangan.
Mata pelajaran Teras
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Pendidikan Islam/Moral
4. Sejarah
5. Matematik
6. Sains
Subjek Agama
1. Bahasa Arab Tinggi
2. Tasawwur Islam
3. Pendidikan al-Quran & as-Sunnah
4. Pendidikan Syariah Islam
Subjek Sains
1. Matematik Tambahan
2. Fizik
3. Kimia
4. Biologi
Seorang calon mesti mengambil subjek teras sebanyak enam iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains. Dengan mengehadkan 10 subjek, seseorang calon hanya boleh mengambil empat lagi subjek iaitu Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam.
Calon ini tidak lagi dapat mengambil subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan (apatah lagi bagi mengambil subjek seperti English For Science and Technology, Technical Drawing, Engineering dan sebagainya).
Apa yang berlaku seolah-olah kita sudah menyekat kebebasan individu yang berminat menggabungkan ilmu agama dan sains yang saya fikir sangat penting bagi menjadi insan seimbang yang mengenal alam dan penciptanya.
Perkembangan ini sudah berlaku dan berkembang dengan baik di sekolah aliran agama di mana kita dapati ramai calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran dengan menggabungkan subjek teras, agama dan subjek sains semakin besar bilangannya dan berkembang dengan pesat.
Subjek Sains (seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan) dan subjek agama (seperti Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam) yang diajarkan di sekolah aliran agama harus dibenarkan diambil bersama bagi pelajar muda ini supaya mereka dapat benar-benar memahami alam dan Penciptanya.
Sains mampu menghuraikan inti pati yang terkandung dalam al-Quran. Asas pemahaman sains mesti dibentuk dari awal bukan menyekatnya pada peringkat awal. Jika pemisahan ini berlaku, umat Islam akan mula membentuk satu aliran pemikiran yang sepatutnya tidak berlaku. Satu golongan pelajar yang memahami agama (yang lebih khusus) dan tidak memahami al-Quran dan satu golongan lagi yang memahami sains dan teknologi tetapi tidak memahami agama Islam secara yang sepatutnya.
Persoalan ini sudah lama difikirkan oleh sarjana Islam yang akhirnya membawa kepada Persidangan Pendidikan Sedunia Islam di Makkah pada 1977. Dalam persidangan itu, dikenal pasti bahawa melalui penjajahan Barat selama ratusan tahun di negara yang didiami umat Islam, telah berlaku pembentukan falsafah pendidikan yang silap iaitu pemisahan di antara ilmu yang diistilahkan sebagai ‘Acquired Knowledge’ dan ‘Perennial Knowledge’.
Doktrin pemisahan ilmu ini berjalan ratusan tahun dalam zaman penjajahan Barat ke atas umat Islam. Apa yang ditanamkan adalah Islam dan Sains, berbeza dan terpisah. Oleh itu kita dapati bahawa mereka yang alim agamanya, amat cetek sainsnya, manakala yang mendalam sains dan teknologinya sangat cetek ilmu agamanya. Ketidakseimbangan ini membawa kerosakan besar kepada pembangunan umat Islam. Kesannya masih terasa dan dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Adakah kita berundur ke zaman silam yang memisahkan ilmu yang sepatutnya disepadukan. Kita tidak mampu melihat kesannya dalam masa singkat, tetapi perancangan yang benar-benar teliti mesti diatur bagi kegemilangan umat dalam jangka masa panjang dan pembinaan tamadun besar yang diredhai Tuhan. Berhati-hati dengan musuh umat, kerana mereka sedar bahawa ilmu yang sebenar adalah senjata yang sukar dikalahkan.
Jadi keputusan mengehadkan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran perlu difikir dengan benar-benar mendalam. Walaupun perkara ini nampak kecil, ketetapan ini memberi kesan besar dan amat sukar dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka juga mengambil subjek mengenai agama Islam dan ramai pula yang berminat (berpotensi besar berjaya cemerlang seperti yang sudah terbukti) dalam subjek sains.
Oleh kerana dua komponen subjek ini (agama Islam dan Sains) adalah sangat penting, maka kesan jangka panjang yang negatif perkembangan ilmu dan keseimbangan umat akan timbul akibat daripada keputusan ini. Carilah jalan mudah yang membawa kebaikan semua pihak dan keuntungan jangka panjang.
Penulis ialah pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu
Berita Harian Online: 30 Mei 2009
Had subjek SPM seimbang akademik, kokurikulum
Oleh Khairunnisa Kamarudin
khairunnisa@bharian.com.my
Pelajar, guru boleh terbabit kegiatan luar termasuk sukan
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu transformasi pendidikan secara menyeluruh untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum setiap pelajar.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, keputusan itu dilihat dapat memberikan lebih banyak masa kepada pelajar untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran selain menceburi aktiviti lain.
"Langkah ini dianggap selaras dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji kegiatan kokurikulum bagi menarik lebih ramai pelajar menyertai sukan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.
"Ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya pertindihan jadual ketika peperiksaan serta pembaziran wang kerana ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen jika mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran di samping mengurangkan tekanan pelajar," katanya di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Ali berkata, perubahan sistem penggredan peperiksaan perlu bersifat adil, menyeluruh dan seragam.
"Ini penting dalam menentukan pelajar paling berkualiti layak terutama dalam perkara membabitkan pemberian biasiswa dan sebagainya," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata calon SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, mulai tahun depan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berharap kerajaan bertegas dengan keputusan itu bagi mengelak timbul masalah seperti kekurangan guru, beban kewangan ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen sedangkan syarat lulus SPM hanya enam mata pelajaran.
"Pelajar juga harus memberikan penekanan kepada kecemerlangan kokurikulum. Kita mahu pelajar berkualiti dari setiap sudut bukan sekadar akademik semata-mata," katanya.
Berita Harian Online: 30 Mei 2009
Jumaat, 29 Mei 2009
Kementerian tambah elaun guru pedalaman
Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my
KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.
Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.
Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.
''Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa," katanya.
“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.
Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.
''Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.
“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.
Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.
Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.
''Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.
”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," katanya.
Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.
Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.
Berita Harian Online: 29 Mei 2009
Enstek diharap dapat lahirkan ilmuwan
SEREMBAN 28 Mei - Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini diharap akan dapat melahirkan golongan ilmuwan dalam bidang pendidikan bagi memperkasakan masa hadapan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kompleks bernilai RM1.3 bilion yang membabitkan dua fasa pembangunan meliputi kawasan seluas 404.68 hektar itu dijangka siap pembinaannya pada tahun 2011 bagi fasa satu.
''Dengan kos RM1.3 bilion itu, saya berharap ia akan menjadi lembah ilmu bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi guru dan golongan pendidik," katanya yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita selepas meletak batu asas kompleks tersebut dekat sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.
Terdahulu dalam sesi taklimat pembangunan kompleks itu, Zulkurnain berkata, kos pembinaan bagi fasa pertama melibatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu RM621.41 juta yang meliputi kawasan seluas 254.2 hektar.
Fasa kedua pula katanya, akan dilaksanakan melalui peruntukan RMK-10 dengan kos RM403 juta yang melibatkan keluasan projek 150.23 hektar.
''Pembangunan dalam kompleks ini membabitkan empat institusi pendidikan yang melibatkan pelajar, guru dan golongan akademik," kata beliau di sini hari ini.
Ia mencakupi pembangunan Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Tunku Kurshiah (TKC), English Language Teaching Centre (ELTC) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk fasa satu.
IAB yang dibina di sini akan menjadi cawangan induk kepada IAB Genting, IAB utara dan IAB Sarawak manakala penempatan TKC pula akan menyediakan kemudahan pelajar 'International Baccalaureate' - Ijazah Sarjana Muda (IB) melibatkan seramai 150 pelajar.
Bagi ELTC pula ia akan menjadi hab pendidikan Bahasa Inggeris yang mampu memuatkan 600 orang sementara IPGM pula merupakan kampus induk kepada semua IPG di seluruh negara yang kini berjumlah 27 buah.
Zulkurnain berkata, fasa kedua dalam RMK-10 melibatkan kerja pembangunan sekolah kebangsaan, sekolah menengah, kuarters, penginapan peserta, perkhidmatan untuk IPGM (1,000 orang) dan ELTC (600 orang), Balai Islam, pusat kokurikulum kebangsaan dan pusat perkhemahan.
''Kawasan kompleks ini bersifat guna sama dan pembangunan mesra alam selain menerapkan unsur pendidikan dalam taman.
"Selain daripada itu ia juga dilengkapi dengan sistem infra dan utiliti yang menghubungkan semua pakej pembangunan serta dibina dengan sistem pembinaan berindustri (IBS)," kata beliau.
Menurutnya, melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), semua kontraktor yang dilantik hendaklah juga menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2009
Memperkasa pendidikan negara
|
|
SEREMBAN 28 Mei - Kerajaan serius melaksanakan Dasar Pendemokrasian Pendidikan dengan memberikan layanan yang saksama di antara kawasan luar bandar dan bandar termasuk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Pelajaran semalam, beliau telah membincangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) secara panjang lebar.
''Kita mahu menjurus pada usaha meningkatkan mutu pendidikan dan pelajaran khususnya di luar bandar.
''Saya telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pelajaran supaya mengambil langkah besar untuk merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, baik dari segi prasarana, keperluan guru dan cara pembelajarannya," kata beliau.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.
Tambah Muhyiddin, beliau tidak mahu ada pihak yang berkata selepas berpuluh tahun kerajaan majukan sektor pendidikan, kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan berbanding bandar daripada segi pencapaian pelajar.
''Ini adalah satu strategi yang kita gariskan dalam tempoh lima tahun akan datang. Saya mahu melihat kesaksamaan dalam aspek infrastrukturnya dan pembelajaran hendaklah sama seperti di bandar," tegas beliau.
Katanya, walaupun perkembangan itu adalah sebahagian dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), perancangannya perlu dibuat dari sekarang.
Ditanya pemberita sama ada jurang itu terlalu jauh sehingga pendekatan drastik tersebut diambil, beliau menjelaskan, perbezaan tersebut begitu ketara.
''Dari sudut lain kita lihat keputusan peperiksaan, itu pun ada jurang," jelas beliau.
Muhyiddin juga menjelaskan, untuk mengatasi kekaburan dalam jurang berkenaan, kementerian akan menempatkan guru berkualiti di kawasan luar bandar dan pedalaman selain memahami kebajikan dan kemampuan guru terbabit.
''Kita mahu guru berkualiti mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.
''Kementerian telah menyediakan tiga kategori elaun iaitu RM1,500 di kawasan yang jauh di pedalaman, RM1,000 untuk pertengahan dan RM500 untuk sederhana. Walaupun sudah ada insentif yang cukup baik ini pun, ada yang memilih untuk terus mengajar di bandar," kata beliau.
Melalui Dasar Pendemokrasian Pendidikan itu juga, kementerian akan melihat faktor keperluan asas di Sabah dan Sarawak kerana yang jauh di pedalaman masih tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik yang efisien.
''Kementerian akan memikirkan untuk menyediakan kemudahan rumah untuk guru yang mengajar di pedalaman," ujar beliau.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pembangunan Kompleks Pendidikan Bandar Enstek akan memberi identiti dan impak pada pendidikan negara.
''Dengan kos RM1.3 bilion untuk pelaksanaan dua fasa itu, saya berharap ia akan menjadi lembah ilmu bukan sahaja kepada pelajar sekolah tetapi guru dan golongan pendidik," kata beliau.
Terdahulu Muhyiddin dibawa melawat sekitar kawasan kompleks sebelum diberi taklimat oleh Zulkurnain yang turut dihadiri lebih 500 tetamu.
Kompleks seluas 404.68 hektar mencakupi pembangunan Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Tunku Kurshiah (TKC), English Language Teaching Centre (ELTC) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melalui dua fasa.
Utusan Malaysia Online: 29 Mei 2009
Khamis, 28 Mei 2009
Terkini: Maksimum 10 subjek SPM mulai tahun depan
NILAI 28 Mei — Setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Serentak dengan itu, beliau berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.
“Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek hari ini.
Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2009
Murid tujuh tahun dirogol di sekolah
Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
Mangsa ditarik tukang kebun ke dalam stor
KUALA TERENGGANU: Rahsia tukang kebun merogol seorang murid perempuan berusia tujuh tahun pada sambutan Hari Guru 19 Mei lalu di sebuah sekolah di Permaisuri, Setiu, terbongkar apabila mangsa menceritakan peristiwa hitam itu kepada gurunya, kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan keluar daripada majlis sambutan Hari Guru di dewan sekolah seorang diri untuk ke tandas, sebelum dia ditarik oleh suspek ke dalam stor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner, Mohd Fauzi Abduri, berkata suspek kemudian bertindak membuka baju dan merebahkan mangsa ke lantai sebelum merogolnya.
Beliau berkata, selepas selesai melakukan kerja terkutuk itu, suspek turut mengugut supaya mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
Katanya, mangsa yang takut dengan amaran suspek itu bertindak mendiamkan diri dan tidak menceritakan kejadian itu kepada guru atau keluarganya.
Mohd Fauzi berkata, selepas tertekan dan trauma dengan kejadian itu, mangsa yang sering ketakutan dan bimbang kejadian itu berulang lagi, kemudian menceritakan kejadian dia dirogol oleh tukang kebun kepada seorang guru di sekolahnya.
Katanya, guru berkenaan kemudian bergegas ke rumah mangsa dan menceritakan kejadian menimpa kanak-kanak terbabit kepada keluarganya..
“Bapa mangsa berusia 40 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kira-kira jam 2.30 petang kelmarin. Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih menunggu keputusan daripada hospital," katanya.
Mohd Fauzi berkata, polis menahan suspek berusia 33, yang berasal dari Kampung Bari Kecil, Setiu, di tempat kerjanya pada jam 6 petang, kelmarin dan kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.
Berita Harian Online: 28 Mei 2009
Guru mohon pertukaran dilulus
Saya memohon pertukaran atas sebab-sebab berikut:
n Saya di Temerloh, Pahang manakala isteri dan anak di Kulai, Johor. Isteri saya baru melahirkan anak (April 2009) setelah dua kali keguguran. Isteri tinggal bersendirian dan terpaksa mengurus anak tanpa suami. Bagaimana jika sesuatu berlaku sewaktu ketiadaan saya?
n Isteri saya juga seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Indahpura, Kulai, Johor. Sekolah jenis ini hanya ada dua buah sahaja iaitu di Kulai, Johor dan Shah Alam, Selangor. Apabila berada dalam situasi begini, kenapa pertukaran daripada pihak suami tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya?
n Saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Krau, Temerloh, ke Kulai, Johor sejauh lebih 950 kilometer (pergi dan balik - bersamaan 13 jam setiap perjalanan) setiap minggu untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Ini melibatkan banyak belanja dan masa.
Masalah yang saya hadapi membuatkan saya tertekan dari segi emosi dan fizikal. Lazimnya pada setiap hari Isnin dan Selasa saya keletihan (fizikal dan mental) kerana perjalanan yang jauh di hujung minggu. Diakui, ia menyebabkan tumpuan saya pada tugas utama untuk mengajar terjejas.
Saya amat mengharapkan pihak-pihak yang berkenaan seperti Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, Jabatan Pelajaran Pahang serta Kementerian Pelajaran dapat memberi pertimbangan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap permohonan saya.
Kuala Krau,
Pahang
Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2009
Anjakan gaji bermula lewat
ISTERI saya merupakan seorang guru gred DGA32. Baru-baru ini, beliau telah menerima surat kelulusan anjakan gaji kerana telah lulus PTK pada tahun 2008.
Namun apa yang mengecewakan beliau ialah anjakan gajinya itu hanya bermula pada bulan Oktober 2009. Untuk makluman, isteri saya merupakan antara segelintir guru yang lulus PTK yang kali pertama diadakan iaitu pada tahun 2003 dengan keputusan IV. Walaupun lulus PTK yang kali pertama diadakan tetapi beliau cuma dinaikkan ke gred DGA32 bermula pada November 2004 dengan anjakan gaji ke gred DGA32 diubah ke bulan Oktober.
Situasi ini amat berbeza dengan sebahagian besar guru DGA29 yang lulus PTK dengan keputusan III pada tahun 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 berkuat kuasa pada Januari 2005. Beza cuma sebulan berbanding isteri saya selama sepuluh bulan. Logik ke lulus PTK kali pertama dengan keputusan IV, tetapi diberi kenaikan gred sepuluh bulan berikutnya, berbanding lulus PTK tahun 2004 dengan keputusan III tetapi diberi kenaikan gred selepas hanya dalam sebulan.
Apabila keputusan PTK 2008 diumumkan, sekali lagi isteri saya lulus dengan keputusan IV. Begitu juga rakan-rakannya yang dinaikkan gred selepas mendapat keputusan III pada PTK 2004 dahulu.
Tetapi rakan-rakannya yang cuma lulus III pada 2004 dan dinaikkan ke gred DGA32 mendapat anjakan gaji berkuat kuasa pada Januari 2009 sedangkan isteri saya pula pada Oktober 2009. Tidakkah pelik situasi ini? Seorang yang lulus PTK 2003 dan dinaikkan ke gred DGA32 pada November 2004 serta mendapat gaji yang lebih tinggi pada masa itu tiba-tiba mendapati orang yang lulus pada tahun berikutnya dengan keputusan III pula akan mendapat gaji yang lebih daripadanya pada tahun 2009.
Situasi ini akan menjadikan guru DGA32 yang lulus PTK tahun 2003 berasa seolah-olah nasib mereka terabai sedangkan mereka lulus dengan keputusan IV. Sebaliknya guru DGA29 yang dinaikkan ke gred DGA32, hanya lulus dengan keputusan III, pula yang lebih beruntung.
Saya amat berharap pihak-pihak seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kesatuan guru seperti KPPK meneliti masalah isteri saya ini.
Perak
Gembira kesungguhan kerajaan selesai isu PPSMI - Gapena
KUALA LUMPUR 27 Mei - Gabungan Penulis Nasional (Gapena) gembira dengan langkah kerajaan yang bersungguh-sungguh mencari penyelesaian terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan banyak pihak menolak pelaksanaannya.
Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, kesungguhan itu mencerminkan kerajaan amat prihatin dan memahami hasrat rakyat tentang isu pendidikan.
"Gapena amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kerana mengambil berat tentang perkara ini.
"Tindakan beliau menyegerakan penilaian semula dasar dan membuat keputusan secepat mungkin akan memberi faedah kepada anak-anak di masa depan," katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.
Hari ini, Muhyiddin berkata, penilaian dasar terhadap kedudukan dasar itu kini berada di peringkat terakhir sebelum taklimat mengenainya dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, penilaian mengenai PPSMI akan mengambil kira pelan komprehensif, pandangan semua pihak serta sistem pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, walaupun pelaksanaan PPSMI itu rata-rata ditolak, ia tidak bermakna bahasa Inggeris tidak perlu dijadikan sebagai wadah memajukan anak bangsa.
"Kita tetap bertegas bahawa bahasa Inggeris perlu diajar melalui saluran yang betul dan bukan menggunakan mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Cara itu hanya menjejaskan perkembangan pembelajaran anak-anak kita terutama mereka yang di luar bandar kerana kajian yang kita buat sebelum ini jelas menunjukkan perbezaan ketara dengan hasil kajian yang dijalankan kementerian mengenai keberkesanan PPSMI," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Gapena akan berjumpa dengan Muhyiddin bagi menyatakan semula ketegasan dan hasrat pertubuhan itu supaya PPSMI dimansuhkan terus untuk kepentingan generasi muda.
Katanya, satu memorandum akan diserahkan kepada Muhyiddin pada pertemuan yang akan dibuat dalam masa terdekat itu.
Beliau berkata, antara kandungan memorandum itu termasuk ketegasan Gapena untuk menuntut supaya PPSMI tidak diteruskan dan juga sokongan kepada pengukuhan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui kaedah yang betul dan bukan melalui PPSMI.
Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2009
Rabu, 27 Mei 2009
Ahli Akademik/Profesional Kaji Cadangan Had Jumlah Subjek Bagi SPM
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kajian itu yang dijalankan atas arahan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lepas, akan melibatkan semua aspek.
"Kita kena ambil kira semua dan melihatnya dari semua dimensi. Bagaimana kita membandingkan tahap kecemerlangan pelajar dalam hal ini?
"Adakah dapat 21 A itu cemerlang, tetapi yang skor A dalam semua sembilan matapelajaran yang diambil oleh seorang lagi pelajar tidak pula cemerlang? Kalau dia cemerlang sebab ambil banyak matapelajaran yang bertindih, tidak bawa apa-apa maknanya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelatih Jurukur Bahan Kolej Tunku Abdul Rahman-Gamuda di sini Rabu.
Wee berkata kementerian juga sedang menjalankan kajian kenapa ada pelajar yang mahu mengambil banyak subjek dalam SPM dan tujuan mereka berbuat demikian.
BERNAMA: 27 Mei 2009
Gapena Mahu Jumpa Muhyiddin Berhubung PPSMI
Ketua Satu Gapena Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata gabungan itu akan mengemukakan memorandum sembilan perkara, antaranya menyokong gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Gapena menawarkan kepada kerajaan kerjasama dalam membangun gagasan 1Malaysia berlandaskan tafsiran Perlembagaan dan Undang-Undang negara yang wajar dan sahih demi kesejahteraan dan kemuliaan bangsa Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, katanya Gapena tetap bertegas dengan pendirian untuk memansuhkan PPSMI di semua peringkat pengajian serta menuntut dikembalikan pengajaran bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.
"Tindakan ini adalah selaras dengan semua tuntutan yang telah disuarakan oleh pelbagai golongan ilmuan, budayawan dan sasterawan serta kajian yang telah dilaksanakan oleh golongan penyelidik di pelbagai universiti dan pertubuhan awam," katanya pada sidang akhbar di Rumah Gapena di sini hari ini.
Ismail berkata Gapena menyokong kuat keperluan meneguhkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa melalui kaedah pembelajaran yang sewajarnya sebagai satu bahasa tanpa menyentuh kepentingan dan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pendidikan.
Sementara itu, Ketua Dua Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai Bahasa Inggeris ia seharusnya dibuat dengan kaedah profesional tanpa melibatkan mata pelajaran lain kerana akan menjejaskan pencapaian pelajar.
"Kalau hendak kuatkan pengajaran Bahasa Inggeris, guna kaedah pengajaran secara profesional, tetapi jangan ganggu Matematik dan Sains kerana ia akan menjejaskan dari segi Perlembagaan dan kesan kepada masyarakat luar bandar dan miskin," katanya.
Semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata status quo dasar PPSMI akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu lagi kerana ia kini berada di peringkat akhir membuat penilaian terhadap kedudukan dasar itu.
BERNAMA: 27 Mei 2009
Sekolah Terbilang: Banyak berjasa
Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my
BANGUNAN SMK Convent Bukit Nanas yang teguh binaannya hingga kini membayangkan keteguhan sikap dan semangat warga sekolah berusia 110 tahun itu. |
SMK Convent Bukit Nanas diabadikan dalam Setem Kenang-kenangan Sekolah Premier
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) yang tersenarai salah sebuah sekolah tertua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) layak berbangga kerana banyak kejayaan sudah ditempa, selain melahirkan pelajar berwibawa dalam pelbagai bidang.
Antara penghormatan terbaru diterima sekolah berusia 110 tahun itu adalah apabila Pos Malaysia Berhad
mengabadikan dalam Setem Kenang-kenangan Sekolah Premier pada 16 Disember lalu.
Sekolah itu bukan saja terkenal dan disegani aspek akademik malah turut mengambil berat pembabitan dan kejayaan kokurikulum pelajar.
Ramai lepasan sekolah berkenaan menjadi tokoh pelbagai bidang termasuk politik, kerjaya profesional, sukan dan seni.
Ann Khoo |
Antaranya bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz; jaguh gimnastik kebangsaan, Farrah Hani Imran dan artis terkenal Fauziah Ahmad Daud.
Pengetuanya, Ann Khoo, berkata institusi yang ditubuhkan pada 1899 itu mampu berbangga kerana kebanyakan
tokoh wanita di negara ini mendapat pendidikan di sekolah itu dan membesar dengan terapan disiplin tinggi.
Lebih utama, katanya, semangat cintakan sekolah yang menebal membuatkan pelajar, guru dan kakitangan akan terus mengamalkan nilai berkenaan walau ke mana pun mereka pergi.
GURU Kelas Reka Cipta, Woon Seet Leng (kiri), memberi tunjuk ajar kepada pelajarnya, Intan Azwani Kencana Mohd Radzuan dan Khu Sofea Khushairi (tengah). |
“Bangunan sekolah yang teguh binaannya hingga kini membayangkan keteguhan sikap dan semangat warga sekolah yang berusia lebih sedekad ini.
“Ia sejajar misi ‘Warga CBN mendukung cita-cita meneruskan warisan kecemerlangan akademik dan kokurikulum di samping membentuk peribadi mulia dalam persekitaran bersih, ceria dan selamat dengan kerjasama komuniti’.
"Komitmen semua pihak termasuk bekas warga sekolah dan 1,350 pelajar serta 91 guru sentiasa bekerjasama melaksanakan misi ini menunjukkan semangat cintakan sekolah yang tebal,” katanya.
Mengimbau kejayaan sekolah, Ann berkata, ia tersenarai dalam 10 sekolah terbaik peringkat WPKL dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Antaranya, pada tahun lalu kami mencapai lonjakan saujana dalam SPM dengan gred purata sekolah 3.03, sekali gus menduduki tempat kelima terbaik di kalangan 93 sekolah di WPKL.
“Pencapaian PMR juga memberangsangkan apabila mencatat 99.6 peratus, manakala jumlah pelajar mendapat 7A dan 8A meningkat kepada 87 berbanding 68 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mengenai pencapaian kokurikulum, Ann berkata, kegiatan bahasa Inggeris, gimrama dan pancaragam sekolah yang menyerlah hingga mencatat pelbagai kemenangan di peringkat antarabangsa dijadikan bidang kebitaraan sesuai statusnya sebagai sekolah kluster.
INFO: Prestasi Kokurikulum dan KoAkademik CBN 2009
Antarabangsa
Kebangsaan
Zon:
Berita Harian Online: 27 Mei 2009
Kecut perut tengok sekolah - Nasib malang 800 murid apabila projek sekolah terbengkalai sejak tahun lepas
KEPALA BATAS - Lebih 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini terpaksa belajar dalam keadaan bahaya dan tidak selesa selepas projek bangunan tambahan sekolah itu terbengkalai sejak tahun lalu.
Masalah itu semakin merunsingkan ibu bapa apabila mengetahui anak-anak mereka terpaksa makan di bawah khemah atau di tepi longkang selain berkongsi tandas sesama lelaki dan perempuan.
Tidak cukup dengan itu, kawasan tapak projek yang cuma 30 meter dari bangunan sekolah sedia ada, menyebabkan kelas dicemari habuk manakala lubang-lubang yang terbiar menimbulkan ancaman keselamatan.
Disebabkan projek itu tidak disiapkan, pihak sekolah terpaksa mengatur pembelajaran dalam dua sesi.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mansor Abdul Samat ketika mendedahkannya berkata, masalah itu menyebabkan ada ibu bapa kecut perut memikirkan keadaan anak-anak di sekolah sehingga mereka mengadu hampir setiap hari kepada pihaknya.
"Memanglah belum ada berlaku kemalangan tetapi siapa tahu esok lusa ia (kemalangan) terjadi, Ini menyebabkan kami ibu bapa berasa tertekan,'' katanya di sini semalam.
Menurut beliau, projek blok bangunan sekolah empat tingkat, tandas dan kantin itu sepatutnya siap awal tahun ini selepas tertangguh sejak Oktober lalu.
Namun katanya, kemajuan projek terhenti pada tahap 50 peratus apabila kontraktor menghadapi masalah kewangan ekoran kenaikan harga barang binaan.
Beliau berkata, kos bangunan tambahan, tandas serta kantin itu dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dan kontraktor berkenaan telah menerima lebih RM1 juta sebagai bayaran kemajuan projek.
Tambahnya, pembinaan projek itu bermula dengan baik pada September 2007 tetapi ia mula perlahan sekitar Mac tahun lepas dan berhenti sepenuhnya pada Disember.
Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009
Pelajar Terengganu guna e-Book
utusanterengganu@utusan.com.my
|
|
KUALA TERENGGANU 26 Mei - Terengganu kini menyertai Portugal dan Venezuela iaitu negara di dunia yang menyediakan kemudahan buku elektronik atau e-Book kepada pelajar bagi menggantikan sepenuhnya penggunaan buku teks di sekolah.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pelaksanaan e-Book dengan akses Internet kepada setiap murid sekolah rendah adalah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan capaian pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja dalam era k-Ekonomi.
''Program e-Book ini sudah pasti akan menjadi tumpuan bukan sahaja di negeri lain dalam Malaysia, namun turut menjadi perhatian negara lain.
''Usaha ini merupakan blueprint bagi melahirkan masyarakat baru berteknologi maklumat (IT). Banyak pihak akan memerhati perkembangan program e-Book ini dan kejayaan Terengganu akan merintis revolusi pendidikan di negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran e-Book di Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Pada majlis pelancaran itu, turut diadakan pertandingan Skor A secara online yang dimenangi oleh Daerah Setiu yang menerima hadiah kemenangan sebuah komputer sumbangan Intel Electronic Malaysia Sdn. Bhd.
Menurut Ahmad, sebagai langkah pertama, 25,000 unit e-Book yang dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat akan diagihkan secara percuma kepada murid tahun lima melalui Pejabat Pendidikan Daerah mulai hari ini.
Jelasnya, agihan e-Book sama seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) iaitu pada penghujung tahun kemudahan itu mesti dipulangkan kembali kepada pihak sekolah.
Cuma kata beliau, berbeza dengan SPBT, e-Book akan diagihkan kepada semua murid tidak kira mereka datang dari keluarga miskin atau kaya.
''Pada permulaan sesi persekolahan yang akan datang, pelajar tahun lima kini akan diberikan e-Book yang mempunyai perisian baru untuk pelajar tahun enam dan pada masa sama, murid tahun lima tahun hadapan akan turut menerima e-Book yang lengkap dengan perisian khusus untuk mereka," ujarnya.
Beliau memberitahu, setiap e-Book disertai dengan jaminan selama setahun, malah ia dibina tahan lasak dengan ciri kalis air serta mampu menahan beban sehingga 20 kilogram.
Sebanyak 347 sekolah dengan 23,191 murid tahun lima serta 3,831 guru akan menerima e-Book melalui program ini.
Fasa pertama agihan mulai hari ini melibatkan 127 sekolah serta 10,438 murid tahun lima.
Ini diikuti agihan e-Book kepada pelajar tahun empat, tiga dua dan satu selepas ini.
Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2009
Selasa, 26 Mei 2009
Mutakhir: Pengumuman PPSMI dalam beberapa minggu lagi
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau sedang memuktamadkan laporan mengenai isu itu sebelum memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan dibentangkan kepada Kabinet.
Beliau berkata, kementerian akan memastikan laporan yang akan dibentangkan kepada Kabinet itu mengandungi pelan komprehensif dan bukan sekadar keputusan.
"Saya mahu semua orang gembira dengan pelan itu dan pada masa sama berpuas hati dengan dasar kementerian.
"Saya mesti pastikan semua sumber, infrastruktur disediakan, ibu bapa gembira anak mereka tidak menjadi mangsa dan paling penting ia akan mencapai dasar pengajaran kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan tujuh pertubuhan Cina mengenai isu pendidikan di pejabatnya di sini. - Bernama
Berita Harian Online: 26 Mei 2009
Kementerian Usaha Imbangi Nisbah Guru Wanita Dan Lelaki
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pada masa ini, hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.
"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.
Mohd Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.
Beliau berkata akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.
Mohd Puad berkata selain itu, ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.
"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.
"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya.
BERNAMA: 26 Mei 2009
Syor had pengambilan subjek SPM disokong
Penaja biasiswa lebih cenderung untuk memberi tajaan kepada pelajar yang berupaya memperoleh keputusan A1 terbanyak. Ini tentunya memberi kelebihan ketara kepada pelajar yang memperoleh A1 dalam kuantiti subjek yang besar berbanding pelajar yang memperoleh A1 dalam kuantiti subjek yang sedikit.
Ini tidak adil bagi pelajar di sekolah yang mengehadkan jumlah pengambilan subjek SPM kepada sembilan atau sepuluh subjek saja.
Keadaan ini menyebabkan pengabaian terhadap pelajar yang turut memperoleh keputusan SPM cemerlang tetapi dalam jumlah subjek yang sedikit. Persoalan timbul sekarang ialah persaingan tidak seimbang di kalangan pelajar untuk merebut tajaan biasiswa.
Sebenarnya, jika keadaan di atas dijadikan ukuran, arahan tentu saja boleh dikeluarkan oleh pihak berwajib supaya semua sekolah memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengambil seberapa banyak jumlah subjek SPM. Dengan itu, masalah persaingan yang tidak adil akan dapat diselesaikan.
Namun sebenarnya, terdapat kemaslahatan yang lebih wajar untuk dijadikan sandaran kepada cadangan diutarakan. Kebelakangan ini, seruan dan desakan supaya sistem pendidikan negara tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata semakin banyak diperkatakan.
Malah Kementerian Pelajaran sudah mengambil langkah proaktif membincangkan isu ini secara tuntas. Ini untuk memastikan supaya sistem pendidikan negara lebih bersifat holistik bagi menyanggupi cabaran semasa.
Jika persaingan merebut keputusan A1 paling banyak di kalangan pelajar diteruskan, adalah dikhuatiri ia akan mendorong pelajar berorientasikan peperiksaan semata-mata, kerana menjadikan peperiksaan sebagai matlamat akhir di dalam pembelajaran mereka. Benar dengan memperoleh keputusan A1 yang banyak akan memberikan petunjuk kecemerlangan pembelajaran mereka. Tetapi soalnya, sejauh mana?
Kecemerlangan pembelajaran tidak boleh hanya diukur dengan keupayaan mengingat apa yang dipelajari. Syed Muhammad Naquib al-Attas mentafsirkan ilmu sebagai ketibaan makna di dalam diri. Maka, seharusnya soal sejauh mana makna kepada apa yang dipelajari, benar-benar tiba di dalam diri setiap pelajar menjadi perkara utama.
Semua pihak juga harus mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan pelajar luar bandar. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk turut sama bersaing secara sihat dan adil bersama rakan pelajar di bandar.
Sekiranya persaingan merebut A1 ini dijadikan amalan, tentu saja tidak adil bagi pelajar luar bandar yang terpaksa mengharungi segala kekurangan berbanding pelajar bandar yang menikmati segala kemudahan yang sudah sedia ada.
KHAIRUL ANWAR SHAZALI,
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Berita Harian Online: 26 Mei 2009
Pemimpin, pendidik digesa rangka pendidikan terbaik
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penanda aras itu, antara lain memberi penekanan khusus untuk memperbaiki aspek inovasi dan kreativiti dalam sistem pendidikan.
"Ini sejajar dengan objektif kita untuk menyediakan serta membangunkan modal insan yang berdaya saing melalui sistem pendidikan.
"Ini dapat membantu kerajaan dan pembuat dasar untuk memacu sistem pendidikan mengikut acuan yang betul ke arah kecemerlangan," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Ke- 48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara Ke-2 di Batu Feringgi di sini, malam tadi.
Muhyiddin juga mengajak warga pendidik supaya bersama-sama membulatkan tekad dan memperteguhkan muafakat untuk mendidik anak bangsa supaya memahami serta menghayati asas perpaduan negara selaras konsep 1Malaysia.
"Dalam hal ini, pengetua dan guru sebagai pemimpin di sekolah wajar mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menyemai serta menyuburkan semangat perpaduan di kalangan pelajar.
"Program kenegaraan seperti Hari Kebangsaan perlu diberikan nafas baru untuk membangkitkan semangat patriotisme serta perpaduan di kalangan pelajar," katanya.
Beliau juga melahirkan harapan supaya persidangan itu bukan saja membincangkan kaedah terbaik bagi memupuk semangat perpaduan, malah menyediakan satu mekanisme khusus untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan sekolah.
"Perancangan yang teliti perlu dilakukan oleh kepemimpinan sekolah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan membolehkan guru memacu kecemerlangan pendidikan negara ke tahap lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan permintaan Persatuan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) untuk menaikkan elaun tanggung-jawab daripada RM150 kepada RM600.
"Ya... memang kami menyedari permintaan mereka yang mahukan elaun itu dinaikkan. Kami akan mengkajinya yang antaranya melihat kepada kemampuan kerajaan dalam menaikkan kadar elaun," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Yang Dipertua PKPSM, Azam Md Atan, mencadangkan supaya kerajaan menaikkan elaun itu yang tidak dinaikkan sejak 15 tahun lalu.
Berita Harian Online: 26 Mei 2009
68,000 pemohon berebut 1,984 tempat KPLI
LANGKAWI - Kementerian Pelajaran telah menerima sebanyak 68,000 permohonan daripada siswazah untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi sesi Jun ini.
Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datuk Misrah Ibrahim berkata, hanya 1,984 tempat disediakan untuk kursus KPLI di 27 institut pendidikan guru bagi sesi pengajian bermula akhir Jun ini.
"Sebanyak 40,000 pemohon yang gagal juga telah mengemukakan rayuan agar dipilih,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Guru Daerah Langkawi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di sini semalam.
Katanya, bahagian itu turut menerima 97,000 permohonan daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus diploma pendidikan dan hanya 6,200 pemohon diterima.
Katanya, Kementerian Pelajaran mungkin menetapkan syarat kelayakan yang lebih tinggi pada masa depan berikutan bilangan pemohon yang begitu ramai.
Kosmo Online: 26 Mei 2009
Kerajaan kaji kadar elaun tanggungjawab pengetua
PULAU PINANG 25 Mei - Kerajaan sedia mengkaji permintaan Persatuan Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah (PKPSM) yang meminta kadar elaun tanggungjawab pengetua sebanyak RM150 sekarang dinaikkan kepada RM600 sebulan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, kementerian tidak pernah mengabaikan kebajikan warga pendidik dan proses penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.
''Kita akan kaji kadar elaun tersebut seperti yang diminta. Saya fikir warga pendidik adalah golongan kakitangan kerajaan yang tidak pernah kita abaikan dan penambahbaikan sentiasa dibuat.
''Namun setiap tindakan yang dibuat perlu dikaji dahulu dan implikasinya perlu diambilkira. Saya harap semua pengetua dapat bersabar," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Manual Prosedur Kerja Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia di sini hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ke-48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara kali kedua.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noorezan Bapoo Hashim.
Menurut Muhyiddin, bilangan guru termasuk pegawai pendidikan yang mencecah setengah juta di seluruh negara perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
''Kita kena buat keputusan berdasarkan kemampuan kerajaan. Jika kita janji tetapi kita tidak mampu, itu tidak boleh," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua PKPSM, Azam Md. Atan dalam ucapannya meminta kadar elaun tersebut yang tidak pernah dinaikkan kerajaan sejak 15 tahun lalu dinaikkan kepada RM600.
Katanya, kadar itu dirasakan amat berpatutan dengan bebanan tugas yang dipikul pengetua-pengetua tersebut.
Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2009
Tetapkan tanda aras pendidikan
utusanpenang@utusan.com.my
|
|
PULAU PINANG 25 Mei - Pemimpin dan warga pendidik diminta menetapkan satu penanda aras bagi menilai prestasi pendidikan negara selaras dengan perubahan drastik yang berlaku dalam ekonomi dan pembangunan teknologi rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penekanan khas itu harus diberikan untuk mencari jalan memperbaiki aspek inovasi dan kreativiti dalam sistem pendidikan.
Menurut beliau, ia sejajar dengan objektif negara untuk menyedia dan membangunkan modal insan yang kompetitif melalui sistem pendidikan.
''Melalui satu penanda aras, ia dapat membantu kerajaan dan pembuat polisi untuk membimbing sistem pendidikan kita mengikut acuan yang betul ke arah kecemerlangan dan kejayaan," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Beliau berucap pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ke-48 serta Persidangan dan Forum Pengetua Asia Tenggara kali kedua di Batu Feringghi di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noorezan Bapoo Hashim.
Muhyiddin juga mengajak warga pendidik supaya bersama-sama membulatkan tekad dan memperteguhkan muafakat untuk mendidik anak bangsa supaya memahami serta menghayati asas perpaduan negara selaras dengan cita-cita 1Malaysia.
Katanya, pengetua dan guru sebagai pemimpin di sekolah wajar mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menyemai serta menyuburkan semangat perpaduan di kalangan pelajar.
Justeru menurut beliau, program-program kenegaraan seperti Hari Kebangsaan perlu diberikan nafas baru untuk membangkitkan semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan pelajar.
Di samping itu, Muhyiddin berkata, kegiatan kurikulum dan kokurikulum perlu dirancang secara teliti untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan yang mendalam tentang sejarah kemerdekaan dan asas pembinaan negara.
"Ini akan memastikan pelajar dapat menghargai asas-asas perpaduan kaum yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu," katanya.
Beliau juga berharap persidangan berkenaan bukan saja membincangkan kaedah terbaik bagi memupuk semangat perpaduan, malah menyediakan satu mekanisme khusus untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan sekolah.
Katanya, perancangan yang teliti perlu dilakukan oleh kepimpinan sekolah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan membolehkan guru memacu kecemerlangan pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.
Muhyiddin berkata, kerajaan amat prihatin dan menghargai jasa kepimpinan sekolah terutama pengetua yang terbukti menerusi langkah mewujudkan jawatan Pengetua Cemerlang dalam Skim Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.
''Sehingga kini, seramai 548 daripada 2,213 pengetua iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengetua di negara ini, sudah dilantik ke jawatan pengetua cemerlang.
''Daripada jumlah ini, seramai lapan pengetua dilantik Gred JUSA C, 180 orang dalam Gred DG54 dan 360 orang Gred DG52. Selain itu, saya juga sudah mengumumkan pertambahan kuota guru cemerlang bagi guru siswazah dan bukan siswazah sebagai dorongan untuk mereka," katanya.
Utusan Malaysia Online: 26 Mei 2009
Isnin, 25 Mei 2009
Timur: Guru perlu kikis rasa gerun beri rawatan kecemasan
Oleh Mohd Rafi Mamat
bhnews@bharian.com.my
PEGAWAI perubatan, Mohan Chitran, mengajar teknik membantu mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala yang menyebabkan matanya terkeluar. |
Latihan dianjurkan BASF beri tumpuan kepada ahli PBSM
PERANAN dan tanggungjawab guru bukan saja tertumpu kepada tugas mengajar di kelas, sebaliknya turut berperanan sebagai jurulatih dan pegawai perubatan.
Justeru, untuk memastikan guru memiliki kemahiran memberi pertolongan kecemasan kepada murid yang mengalami apa juga jenis kecederaan, pendedahan dan latihan perlu diberikan.
Pendedahan menerusi latihan juga berupaya mengikis perasaan takut dan gerun guru terutama apabila mereka berhadapan kecederaan serius dengan darah yang banyak.
Baru-baru ini, bertempat di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Teruntum, Kuantan, diadakan Latihan Pertolongan Cemas yang disertai 20 guru sekolah rendah dan menengah daerah ini.
Program dianjurkan oleh BASF Petronas Chemicals (BASF) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu antara lain bertujuan memberi pendedahan serta teknik merawat dan membantu mangsa kemalangan.
PESERTA latihan pertolongan cemas membantu mangsa kemalangan pada sesi latihan praktikal. |
Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Komunikasi BASF, Jason Choi, berkata program yang dianjurkan itu lebih menumpukan kepada guru yang menganggotai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Katanya, apa yang diharapkan guru yang mengikuti latihan itu bukan saja menimba pengalaman tetapi lebih penting dapat berkongsi pengetahuan dengan pelajar.
"Ini kali ketiga BASF menganjurkan latihan pertolongan cemas membabitkan guru sekolah rendah dan menengah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TBK).
"Kepakaran pegawai perubatan BASF dapat dikongsi dengan guru yang akan membantu pelajar ditimpa apa juga jenis kecederaan dan kemalangan terutama di sekolah," katanya.
Jason berkata, selain merawat luka dan patah tangan, guru juga didedahkan dengan teknik membantu kecederaan serius disebabkan kemalangan jalan raya, pergaduhan, sesak nafas, tercekik dan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut.
Peserta, Noral Baiyah Kamaruddin, 26, berkata ini kali pertama dia mengikuti latihan pertolongan cemas yang dianggap penting bagi guru yang menganggotai pasukan PBSM.
"Banyak teknik membantu mangsa kecederaan antaranya seperti kemalangan jalan raya dan terjatuh yang menyebabkan kecederaan serius diajar sepanjang program.
"Kini saya bertambah yakin untuk membantu terutama mangsa yang mengalami patah tangan dan kaki terutama sebelum kehadiran pegawai perubatan," katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan.
Beliau berkata, sebelum seseorang murid yang mengalami kemalangan seperti patah tangan dan kaki di bawa ke hospital, bantuan yang sesuai perlu diberikan bagi memastikan tahap kecederaan yang dialami tidak menjadi semakin serius.
Rakannya, Nirmala Devi, 35, berkata pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu akan dikongsi dengan pelajar terutama yang menganggotai pasukan PBSM.
"Saya berpendapat latihan pertolongan cemas yang dianjurkan oleh BASF ini menepati kehendak dan kepentingan guru," katanya bertugas di SMK Teknik Seri Pelindung, di sini.
Nirmala berkata, apa yang menarik pada kursus yang dianjurkan oleh BASF ini ialah peserta seperti berada pada keadaan sebenar kemalangan.
Katanya, peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan akan berusaha membantu mangsa kemalangan jalan raya, pergaduhan, terkena kaca tingkap dan pisau yang memerlukan kemahiran membantu sebelum kehadiran ambulans.
Bagi Chua Siew Bee, 33, selain membantu mangsa yang mengalami luka, peserta juga diajar kaedah membantu mereka yang tercekik, sesak nafas dan lemas.
Katanya, bagi mereka yang tercekik, mangsa perlu dibantu dengan cara memeluk secara dari belakang seterusnya menekan bahagian perut bagi memastikan objek terlekat keluar dengan sendirinya.
"Bagi kes lemas dalam air, mangsa perlu diberi bantuan pernafasan melalui mulut, bagi memastikan mangsa dapat bernafas semula.
"Apa yang lebih penting untuk membantu mangsa yang terbabit dalam apa juga jenis kemalangan, kita perlu bertenang dan memberi bantuan secara profesional," katanya.
Berita Harian Online: 25 Mei 2009
Sentral: Guru perlu berhemah tangani masalah
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
Minat profesion, tak jemu mendidik jadi prinsip Tokoh Guru Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR: Guru yang baik perlu mempunyai jati diri supaya boleh mendidik dan menangani masalah pelajar dengan berhemah. Itulah prinsip dipegang penerima anugerah Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009, Rashedah Md Yassin.
Rashedah, 61, seorang daripada tiga penerima anugerah disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sempena Majlis Perayaan Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009 yang diadakan baru-baru ini.
Beliau yang berasal dari Johor melahirkan rasa syukur, terharu dan gembira menerima anugerah itu dan menyatakan kerjaya sebagai pendidik memberikannya kepuasan yang tidak terhingga.
“Saya memang minat dengan profesion perguruan. Minat yang mendalam itulah menyebabkan saya tidak pernah berasa penat atau jemu mendidik anak bangsa walaupun pelbagai masalah dan dugaan datang kerana saya tahu guru adalah satu kerjaya yang mulia.
“Sekali kita menjadi guru, kita adalah guru selamanya kerana bakti mendidik itu akan berterusan dan diturunkan dari generasi ke generasi.
“Berikutan itu, saya harap guru pada hari ini menghayati profesion yang mulia ini dan mengajar dengan penuh minat supaya dapat melahirkan anak didik yang berjaya sekali gus menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.
Rashedah yang berkhidmat sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara sebelum bersara berkata, sepanjang 34 tahun membabitkan diri dalam bidang perguruan, beliau tidak mempunyai kenangan pahit.
“Ini kerana saya selalu berfikiran positif dan menganggap sebarang dugaan serta masalah yang timbul itu datang dari Allah untuk menguji kita.
“Apatah lagi, sepanjang bergelar guru, saya selalu mendapat sokongan penuh daripada keluarga, rakan-rakan dan guru lain menyebabkan saya tidak pernah menganggap perkara buruk yang berlaku sepanjang tempoh berkhidmat sebagai pengalaman buruk sebaliknya ia adalah satu pengalaman berharga,” katanya.
Turut menerima anugerah sama ialah bekas Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Raja Amzah Raja Sohot dan bekas Guru Besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), K Kaniappan.
Pada majlis sama, Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada bekas pengetua Sekolah Menengah St John iaitu Datuk Lawrence T Spitzig manakala guru dari Sekolah Kebangsaan Sentul Utama, Saifuddin Mohamad pula dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya.
Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas pula diberikan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju, Noraini Abdul Ghani manakala Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi menjadi milik Pang Chong Leong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lana Davidson.
Berita Harian Online: 25 Mei 2009
Polis cari guru kes simbah asid
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
bhkb@bharian.com.my
RAJAB Abu Bakar, 70, (kiri) melihat kesan simbahan asid pada badan anaknya Mohd Rizal dalam kejadian di Lemal, Pasir Mas, awal pagi kelmarin. |
Mangsa syak suami majikannya cemburu
PASIR MAS: Seorang guru kini diburu polis kerana disyaki terbabit menyimbah asid terhadap seorang pekerja pusat memproses ayam dekat Lemal di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Haliluddin Rahim, berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti guru terbabit yang menghilangkan diri sejak selepas serangan itu.
"Polis sedang mengesan suspek walaupun sudah melarikan diri selepas kejadian dan dia dipercayai masih berada di sekitar jajahan ini.
"Serangan asid itu dipercayai bermotifkan cemburu. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan bahan berbahaya," katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, mangsa, Mohd Rizal Rajab, 31, melecur di telinga kanan, leher dan bahu sebaik terkena simbahan asid yang diguna penyerangnya.
Mohd Rizal berkata, dalam kejadian awal pagi itu, beliau dan bersama seorang abangnya dan beberapa pekerja lain sedang memproses ayam untuk dijual mulai jam 3 pagi.
"Ketika saya keluar untuk ambil barang di luar kedai, secara tiba-tiba seorang lelaki yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda keluar menyimbah sesuatu ke arah saya.
"Cecair disimbah terkena telinga, leher dan bahu menyebabkan saya melecur. Nasib baik saya sempat mengelak daripada terkena mata," katanya.
Mohd Rizal yang baru dua bulan bekerja di premis terbabit, berkata sebelum ini dia pernah terserempak dengan lelaki terbabit, tetapi tidak mengenalinya.
"Namun, saya mengesyaki lelaki terbabit adalah suami kepada majikan saya kerana selepas kejadian itu, majikan saya turut mendakwa suaminya terbabit dalam kejadian ini," katanya.
Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009
Amuk di sekolah
mfirdaus@hmetro.com.my
dibuat." title="BUKTI...Noor Quiah menunjukan laporan polis yang dibuat." width="300" border="0" height="213"> |
BUKTI...Noor Quiah menunjukan laporan polis yang dibuat. |
KUALA LUMPUR: Seorang wanita bertindak di luar batasan apabila menyerang dan menampar seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun berulang kali di sebuah sekolah, dekat sini, ketika waktu persekolahan berlangsung hanya kerana mendakwa mangsa mengganggu anaknya, Rabu minggu lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, wanita terbabit menceroboh kawasan sekolah berkenaan sebelum menyerang kanak-kanak malang itu yang sedang belajar.
Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa di hadapan seorang guru dan 35 murid lain tanpa segan silu.
Ibu mangsa, Noor Quiah Ismail, 39, berkata tindakan itu memang satu perbuatan keterlaluan kerana anaknya itu masih kecil.
“Budak-budak bergaduh adalah perkara biasa...kenapa ibu perlu turut campur tangan? Jika kena cara penyelesaiannya saya tidak marah, sebaliknya bersetuju.
“Setahu saya, wanita terbabit menampar anak saya lebih tiga kali selain menolaknya hingga jatuh hanya kerana dia mengganggu anaknya ketika sambutan Hari Guru sekolah berkenaan, Selasa lalu.
“Jika itulah puncanya, ia satu tindakan bodoh dan biadab,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Menurutnya, wanita terbabit turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anaknya itu di hadapan semua murid dan seorang guru.
“Biarpun ditenangkan guru berkenaan, wanita itu masih menggoncang tubuh dan menikam badan anak saya dengan jari bagaikan orang gila.
“Anak saya bernasib baik kerana wanita itu berjaya ditenangkan beberapa guru lain,” katanya.
Noor Quiah berkata, dia kesal dengan sikap pihak pengurusan sekolah terbabit yang merahsiakan kejadian itu biarpun anaknya itu mengalami bengkak pada kiri muka.
“Saya hanya tahu mengenai kejadian itu ketika mengambil anak pulang. Mereka sepatutnya memberitahu kepada ibu bapa sekiranya berlaku sebarang musibah kepada anaknya...kenapa perlu dirahsiakan,” katanya.
Noor Quiah membuat laporan di Balai Polis Travers di sini selepas berang dengan sikap pengurusan sekolah terbabit yang tidak mengambil sebarang tindakan kepada wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan namun enggan mengulas lanjut.
myMetro: 25 Mei 2009
Abdullah Tokoh Guru Pahang 2009
|
|
MARAN 24 Mei - Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini semalam.
Abdullah, 59, dipilih berikutan sumbangan besarnya terhadap pendidikan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Hadiah berupa trofi dan sijil disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini.
Abdullah ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang memilihnya sebagai tokoh guru bagi peringkat negeri.
Dalam pada itu, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Rompin dan pensyarah Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan itu menasihati lepasan universiti supaya memilih profesion tersebut kerana minat dan bukan kerana terpaksa akibat tidak memperoleh pekerjaan lain.
Pada masa ini, katanya, kerjaya guru semakin diminati berikutan pelbagai insentif seperti peluang kenaikan pangkat dan skim gaji yang menarik.
''Jangan berpura-pura menjadi guru kerana 'lakonan' yang tidak seiring dengan kehendak jiwa itu menyebabkan profesion perguruan menghadapi masalah melahirkan pelajar berkualiti,'' tegasnya.
Anak kelahiran Bebar, Pekan itu juga menasihati golongan pendidik supaya sentiasa muhasabah diri dengan bertindak dan bersifat sebagai seorang guru dalam semua situasi ketika berdepan dengan masyarakat.
''Setiap gerak geri guru sentiasa diperhatikan masyarakat kerana mereka menjadi model kepada generasi muda," katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran.
Menurut bekas Pegawai Pelajaran Daerah Lipis itu, guru tidak seharusnya membantah apabila ditukar tempat bertugas kerana beliau sendiri pernah ditukar sebanyak 16 kali sepanjang 25 tahun berkhidmat sebagai guru.
''Bertukar dan bertugas di tempat baru banyak hikmah serta pengetahuan baru dapat ditimba yang dapat memantapkan lagi kerjaya guru," jelasnya.
Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009
Tidak perlu bawa beg sekolah
utusanpahang@yahoo.com.my
|
|
KUANTAN 24 Mei - Dalam tempoh setahun lagi, pelajar di negeri ini tidak perlu lagi menggalas beg ke sekolah sebaliknya mereka hanya perlu membawa sebatang 'pendrive' atau sekeping cakera padat (CD) bagi proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, perkara itu bakal menjadi kenyataan menerusi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sedang giat dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negeri.
Ketika ini katanya, pelajar sekolah terpaksa menggalas beg sekolah berisi buku-buku latihan dan rujukan dengan anggaran berat kira-kira 40 kilogram dalam tempoh lima hari seminggu.
''Kita berharap perkara ini menjadi realiti pada tahun depan dan kami di Pahang sedang berusaha ke arah itu.
''Sekiranya sasaran pada tahun depan tidak menjadi kenyataan, kami percaya dengan kepantasan pembangunan teknologi yang sedang berlaku, kita mampu mencapainya dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival ICT Sekolah-Sekolah 2009 di pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang, Beserah di sini hari ini.
Karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Telekom Malaysia Berhad (Telekom).
Abdul Aziz berkata, sekiranya sasaran untuk mewujudkan suasana ICT di sekolah itu menjadi kenyataan, ia secara tidak langsung mengurangkan beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh guru di Pahang selain menjadikan mereka lebih efektif.
Misalnya kata beliau, ketika ini guru perlu mencari bahan atau maklumat yang ingin diajar kepada pelajar tetapi dengan adanya kemudahan ICT, segalanya boleh diperoleh di komputer.
Sehubungan itu jelas beliau, guru akan mempunyai lebih ruang mendekati pelajar dalam usaha mereka membantu, membimbing dan menerap nilai-nilai murni kepada mereka.
Tambahnya, suasana ICT juga akan memberi lebih keselesaan kepada pelajar kerana ruang pembelajaran mereka tidak lagi terhad di bilik darjah sebaliknya proses pembelajaran mereka berterusan pada setiap masa.
''Dengan adanya kemudahan ICT, pelajar boleh belajar atau bertanya soalan kepada guru ketika di rumah atau di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai kemudahan Internet.
''Ibu bapa juga tidak lagi perlu menanggung kos kelas tambahan kerana anak-anak boleh belajar di rumah dengan pemantauan mereka sendiri," katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 80 peratus sekolah di negeri ini telah dilengkapi ICT dan pihaknya menjangkakan semua sekolah di Pahang akan mempunyai kemudahan itu menjelang tahun depan.
Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009
Subjek Sejarah tahun 1, 2 bermula 2012?
utusanjohor@utusan.com.my
BATU PAHAT 24 Mei - Pengajaran mata pelajaran Sejarah kepada murid tahun 1 dan 2 di semua sekolah rendah termasuk jenis kebangsaan dijangka bermula sepenuhnya pada 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ketika ini projek perintis mengenainya sedang dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 500 buah sekolah.
Menurutnya, pengajaran Sejarah tidak dilakukan seperti mata pelajaran lain, sebaliknya menerusi kaedah interaksi yang menyeronokkan murid-murid seperti koir dan perbahasan.
"Jika projek ini berjalan dengan baik, maka kita mungkin melaksanakan sepenuhnya pengajaran itu pada 2012," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Slogan 'UMNO Perjuangan' sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 UMNO anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, transformasi kurikulum itu akan membabitkan latihan kepada guru-guru agar mereka memahami kaedah mengajar mata pelajaran tersebut.
"Ini juga untuk memastikan pengajaran mereka memberikan kesan mendalam kepada murid-murid," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan membenarkan guru-guru siswazah bergerak aktif dalam politik.
Menurutnya, kajian itu turut membabitkan kumpulan penting seperti pengetua, guru besar atau pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran.
"Kita kena melihat perkara ini lebih terperinci agar tidak timbul masalah kerana dikhuatiri ada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut," katanya.
Bagaimanapun, pihaknya mungkin membenarkan mereka bergerak aktif tetapi tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti.
"Mereka mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dan penglibatan mereka dalam parti pula perlu sentiasa dipantau," katanya.
Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009
Sikap guru perlu ditegur
utusanpahang@utusan.com.my
|
|
MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.
Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.
Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.
''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.
Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.
Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.
''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya
Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.
''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.
Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.
''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.
Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.
Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009
Ahad, 24 Mei 2009
STU terkilan pengambilan guru KPLI berkurangan
KUCHING 23 Mei - Kesatuan Guru Sarawak (STU) terkilan ekoran pengambilan guru dari negeri ini untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sedikit berbanding bilangan yang memohon tahun lalu.
Presidennya, William Ghani Bina berkata, tahun lalu, daripada 6,617 lepasan ijazah yang memohon untuk mengikuti program berkenaan, hanya 152 orang diterima.
Sehubungan itu, menurutnya, pihak kesatuan akan membawa perkara tersebut ke peringkat yang lebih tinggi untuk dibincangkan dengan pihak kementerian.
''Kami agak kecewa dan tidak berpuas hati dengan perkara ini, namun kami akan cuba sedaya upaya membantu permohonan mereka yang tidak berjaya ke peringkat proses temu duga KPLI," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung STU yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.
Ghani memberitahu, STU akan mengemukakan beberapa permohonan dan cadangan kepada Kementerian Pelajaran bagi memastikan penempatan guru di Sabah dan Sarawak mencukupi.
Ujar beliau, pihak kesatuan mahu pihak kementerian menilai semula kapasiti pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak di setiap Institut Pendidikan Guru (IPG) maktab agar bilangan mereka ditambah.
''Kita akan memohon supaya jumlah IPG di negeri ini ditambah iaitu satu di Lawas dan Sri Aman.
''Kita juga mahu kementerian menetapkan kuota iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus guru yang mengajar di sesebuah sekolah di setiap negeri itu adalah anak tempatan," katanya.
Penempatan 50 peratus guru terdiri daripada anak tempatan kata Ghani, wajar bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.
Jelas beliau, penempatan guru tempatan itu akan membolehkan proses pertukaran guru pada setiap tahun dikurangkan.
Malah, katanya, ia juga boleh mengurangkan kos perjalanan seseorang guru terutamanya akibat pertukaran dan kos pulang bercuti ke kampung masing-masing.
Tambahnya, penempatan anak tempatan yang ramai di setiap sekolah juga mampu memperbaiki mutu pembelajaran apabila pelajar lebih memahami apa yang diajar ekoran faktor bahasa dan budaya.
Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2009
Sesi sekolah seperti biasa
ALOR SETAR 23 Mei - Sesi persekolahan bagi para pelajar yang tidak terkena jangkitan saluran pernafasan di Sekolah Model Khas, Bukit Jenun, Pendang akan diteruskan seperti biasa esok.
Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman berkata, setakat ini hanya 53 pelajar sekolah berkenaan terkena jangkitan tersebut dan ia tidak membimbangkan.
"Esok sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa dan ibu bapa tidak perlu risau kerana para pelajar yang terlibat telah disahkan hanya menghidap selesema biasa.
"Pelajar-pelajar yang masih belum sembuh sepenuhnya akan dikuarantin bagi mengelakkan selesema tersebut berjangkit kepada pelajar lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kira-kira 53 pelajar dari sekolah ersebut dimasukkan ke Hospital Alor Setar (HAS) serta Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal minggu ini akibat jangkitan saluran pernafasan.
Kesemua pelajar terbabit mendapat gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, sakit kepala, selesema, loya serta muntah.
Ujian makmal yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan juga telah mengesahkan ia berpunca daripada jangkitan virus influenza A bermusim dan tidak berkaitan dengan jangkitan influenza A (H1N1).
Menurut Shahidan, pihaknya juga telah mengarahkan pentadbiran sekolah berkenaan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan sekolah tersebut seperti di asrama serta kantin.
Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2009
Sabtu, 23 Mei 2009
Utara: Bekas wartawan sambilan dipilih Tokoh Guru Kedah
SAYED MAHADZIR gembira bersama isterinya Che Zahnim Hashim (kanan) dan anaknya Sharifah Intan Munirah selepas pengurniaan Tokoh Guru Kedah 2009, kelmarin. |
ALOR SETAR: Bekas wartawan sambilan Berita Harian dan Harian Metro, Sayed Mahadzir Syed Omar semalam dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah 2009 berdasarkan penglibatan dan jasa beliau dalam bidang pendidikan sejak 35 tahun lalu.
Beliau yang mula menceburkan diri sebagai wartawan sambilan sejak tahun 1996 hingga 2001 amat meminati bidang penulisan hingga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya, hadiah Sastera 1976 menerusi cerpen 'Si Labah Tua', hadiah Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi antologi bersama dan hadiah pertama Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan Tahun 2003 menerusi karya "Citra Seorang Perdana Menteri".
Sayed Mahadzir berkata, walaupun melakukan kerja-kerja kewartwanan ketika masih bertugas sebagai guru beliau masih mampu membahagikan masa dan tidak pernah sekalipun mengabaikan muridnya yang kini ramai mengisi jawatan penting dalam pelbagai sektor termasuk kerajaan dan swasta.
Malah Katanya, tugas sambilan sebagai wartawan itu banyak membantu dirinya menjadi seorang yang peka terhadap perkembangan semasa terutama pendidikan sehingga secara tidak langsung membantu mempertingkatkan tahapa penguasaan kerjaya tetapnya dalam bidang pendidikan.
"Saya menceburi bidang kewartawanan ini bukan semata-mata kerana mahu mencari pendapatan tambahan tetapi kerana minat... bagi saya bidang kewartawanan ini banyak membantu membentuk keperibadian diri kerana seorang wartawan perlu peka dan berdispilin tinggi untuk berjaya.
"Namun pada tahun 2001 saya terpaksa meninggalkan bidang ini kerana saya dinaikkan pangkat je jawatan guru penolong kanan yang memerlukan lebih tumpuan kerana terbabit secara langsung dengan pentadbiran sekolah," katanya selepas Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2009 yang itu disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama, Sultanah Hamimah Haminudin dan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Shahidan Abd Rahman.
Sementara Sultan Abdul Halim, bertitah penghormatan terhadap guru sepertimana yang dituntut dan diiktiraf oleh masyarakat perlulah seiring dengan kesedaran golongan pendidik itu sendiri agar mereka berusaha dengan lebih gigih bagi memartabatkan bidang kerjaya sebagai guru.
Baginda bertitah, hakikat bahawa zaman akan terus berubah dan tamadun akan terus dibina oleh manusia di seluruh dunia, apatah lagi dengan kemunculan konsep globalisasi yang diasaskan oleh kemajuan sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat.
"Secara sedar masyarakat kita turut dipengaruhi oleh nilai-nilai peradaban baru yang mampu menggugat legasi moral dan akhlak masyarakat kita.
"Beta yakin masyarakat yang kita impikan bersama-sama adalah masyarakat yang beretika iaitu masyarakat yang mampu menilai antara kebaikan dan keburukan," titah baginda.
Berita Harian Online: 23 Mei 2009