Khamis, 21 Mei 2009

Ibu pelajar mangsa 'belasah' lega

KOTA BHARU 20 Mei - Ibu kepada pelajar tingkatan lima yang mendakwa dibelasah kira-kira 20 pelajar kerana enggan memberikan RM1 sebagai 'bayaran perlindungan' baru-baru ini, lega kerana kes anaknya diberi perhatian Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pihak sekolah.

Semah Daud, 44, berkata, selepas kejadian itu, anaknya, Nik Shahirol Hafizul, 17, masih meneruskan persekolahan seperti biasa, namun hatinya sentiasa diburu kebimbangan jika kejadian tidak diingini berulang.

''Hari ini, saya lega dan bersyukur kerana atas inisiatif JPN dan sekolah, kes melibatkan anak saya dan rakan-rakan sekolahnya selesai.

''Walaupun saya terkilan kerana anak saya cedera dan dimasukkan ke hospital selepas dibelasah, namun hari ini, saya harap semua pihak berdamai dan melupakan segala sengketa,'' ujarnya.

Beliau ditemui selepas pertemuan dengan Pengarah JPN, Mohd. Ghazali Abdul Rahman dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Kota Jembal, Kamarul Zaman Daud di sekolah itu di sini hari ini.

Turut hadir bapa kepada salah seorang pelajar yang didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Ibu kepada 10 anak itu menambah, pertemuan untuk berdamai itu dialu-alukan kerana mahu anaknya belajar dengan selesa bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

''Saya percaya melalui sokongan semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan JPN, kegiatan yang tidak bermoral sehingga menakut-nakutkan pelajar lain serta mendatangkan kecederaan dapat diatasi,'' katanya.

Ditanya sama ada anaknya akan terus belajar di sekolah itu, Semah berkata, dia berhasrat memindahkan anaknya ke sekolah berhampiran pada waktu terdekat ini.

Utusan Malaysia Online: 21 Mei 2009

Tiada ulasan: