Isnin, 18 Mei 2009

3 pelajar julang nama sekolah


NORIAH Bahari (kiri) berbual dengan ketiga-tiga pelajar (dua dari kiri) Som Jud a/l Muniandy, Mohd Khairul Effendy Che Wan dan Muhammad Fazrel Ashraf Azizan yang mendapat Anugerah Belia Remaja dalam Kategori Sains dan Teknologi sempena Hari Belia Negara 2009 di Sekolah Menengah Teloi Kanan, Baling, Kedah, semalam.


BALING 17 Mei – Kejayaan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Teloi Kanan yang dipilih menerima Anugerah Belia Remaja Kebangsaan diibaratkan sebagai hadiah bermakna kepada guru dan semua warga sekolah sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Sebelum ini mereka juga telah melakukan kejutan kerana berjaya menjulang nama sekolah di peringkat negara dan antarabangsa.

Ketiga-tiga pelajar itu, Mohd. Khairul Effendy Che Wan, 17; Muhammad Fazrel Ashraf Azizan, 15, dan Som Jud Muniandy, 16, yang memenangi pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Finland pada bulan lalu dipilih memenangi anugerah itu bagi kategori Sains dan Teknologi.

Pengetua sekolah berkenaan, Noriah Bahari berkata, pemilihan ketiga-tiga pelajar tersebut untuk menerima anugerah pada peringkat kebangsaan membuktikan usaha bersungguh-sungguh antara pelajar dan guru mendapat pengiktirafan kerajaan.

“Inilah hadiah bermakna buat guru dan semua warga sekolah terutama sempena Hari Guru tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Pada sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009, ketiga-tiga pelajar tersebut merupakan antara penerima pertama kategori yang diperkenalkan buat kali pertama itu.

Turut menerima anugerah dalam kategori pendidikan ialah pelajar terbaik, Nik Nurmadihah Nik Mahmud dan pasukan Formula Future kategori Sukan.

Noriah berkata, kejayaan ketiga-tiga pelajar ini juga telah memberi kesedaran kepada pelajar lain untuk turut sama berusaha dalam bidang masing masing.

Dalam pada itu, kejayaan ketiga-tiga pelajar tersebut memperoleh pingat emas di peringkat antarabangsa turut mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, isteri Perdana Menteri turut gembira kerana pelajar terbabit mendapat jemputan menyertai Minggu Air Antarabangsa di Stockholm, Sweden Ogos ini.

Pada Festival Sains Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu Finland baru-baru ini, para pelajar berkenaan yang membentangkan kertas kerja bertajuk Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air.

Mereka berjaya mengalahkan 80 negara lain yang turut mengambil bahagian dalam festival anjuran Environment Online (ENO) Dunia itu.

Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2009

Tiada ulasan: