Sabtu, 23 Mei 2009

Guru kaunselor wajar beri bimbingan kerjaya

SEREMBAN 22 Mei - Guru kaunselor di setiap sekolah di negeri ini disarankan untuk memberi bimbingan kerjaya kepada setiap pelajar bagi membantu hala tuju mereka pada masa depan.

Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohamad berkata, usaha berkenaan dapat memberi maklumat lebih tepat untuk pelajar memilih kerjaya khususnya dalam bidang kemahiran.

''Kami berharap pendedahan itu akan membuka minda pelajar khususnya dalam bidang kemahiran untuk melihat peluang pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan persekolahan.

''Guru ini berperanan menyampaikan fungsi, skop, kelayakan yang berkaitan dengan kerjaya yang diminati serta sesuai dengan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Penutupan Kolokium Guru Bimbingan dan Kaunselor di sini, semalam.

Dalam pada itu Abdullah memberitahu, pendekatan tersebut juga mampu membuka ruang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak memperoleh keputusan cemerlang untuk menceburi bidang kemahiran.

''Buat masa ini, kami menganggarkan sebanyak 30 peratus lepasan SPM berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam di negara ini. Mereka yang tidak berpeluang ini yang perlu diberikan latihan kemahiran.

''Kami akan membantu memberi arah tuju terhadap kursus dan latihan kemahiran yang boleh mereka sertai selepas tamat persekolahan supaya mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan yang pesat," kata Abdullah.

Utusan Malaysia Online: 23 Mei 2009

Tiada ulasan: