Sabtu, 30 Mei 2009

Had subjek SPM seimbang akademik, kokurikulum

Oleh Khairunnisa Kamarudin
khairunnisa@bharian.com.my

Pelajar, guru boleh terbabit kegiatan luar termasuk sukan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu transformasi pendidikan secara menyeluruh untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum setiap pelajar.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, keputusan itu dilihat dapat memberikan lebih banyak masa kepada pelajar untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran selain menceburi aktiviti lain.

"Langkah ini dianggap selaras dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji kegiatan kokurikulum bagi menarik lebih ramai pelajar menyertai sukan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.

"Ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya pertindihan jadual ketika peperiksaan serta pembaziran wang kerana ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen jika mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran di samping mengurangkan tekanan pelajar," katanya di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Ali berkata, perubahan sistem penggredan peperiksaan perlu bersifat adil, menyeluruh dan seragam.

"Ini penting dalam menentukan pelajar paling berkualiti layak terutama dalam perkara membabitkan pemberian biasiswa dan sebagainya," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata calon SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran, mulai tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu akan membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran subjek teras, manakala sekolah tidak menghadapi masalah kekurangan guru bagi sesetengah mata pelajaran.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berharap kerajaan bertegas dengan keputusan itu bagi mengelak timbul masalah seperti kekurangan guru, beban kewangan ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen sedangkan syarat lulus SPM hanya enam mata pelajaran.

"Pelajar juga harus memberikan penekanan kepada kecemerlangan kokurikulum. Kita mahu pelajar berkualiti dari setiap sudut bukan sekadar akademik semata-mata," katanya.

Berita Harian Online: 30 Mei 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran yang sentiasa prihatin terhadap nasib guru-guru yang mengajar di kawasan seperti kami.Sememangnya cabaran mengajar di kawasan pedalaman amatlah tinggi.Kami bukan sahaja terpaksa berjauhan dengan keluarga,tetapi juga terpaksa tinggal di rumah yang kurang selesa,mengharapkan sepenuhnya kepada air hujan dan sungai untuk keperluan seharian.Kadangkala bekalan elektrik putus apabila janakuasa sekolah rosak.Walaupun kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan elaun pedalaman oleh guru-guru yang bertugas di bandar dan luar bandar,tetapi guru pedalaman tetap akan tabah.