Isnin, 25 Mei 2009

Tidak perlu bawa beg sekolah


Abdul Aziz Abdul Latiff (tengah) bersama sebahagian pelajar melihat komponen dalam komputer pada Pameran ICT Sekolah 2009 di Kuantan, Pahang, semalam.


KUANTAN 24 Mei - Dalam tempoh setahun lagi, pelajar di negeri ini tidak perlu lagi menggalas beg ke sekolah sebaliknya mereka hanya perlu membawa sebatang 'pendrive' atau sekeping cakera padat (CD) bagi proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, perkara itu bakal menjadi kenyataan menerusi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sedang giat dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negeri.

Ketika ini katanya, pelajar sekolah terpaksa menggalas beg sekolah berisi buku-buku latihan dan rujukan dengan anggaran berat kira-kira 40 kilogram dalam tempoh lima hari seminggu.

''Kita berharap perkara ini menjadi realiti pada tahun depan dan kami di Pahang sedang berusaha ke arah itu.

''Sekiranya sasaran pada tahun depan tidak menjadi kenyataan, kami percaya dengan kepantasan pembangunan teknologi yang sedang berlaku, kita mampu mencapainya dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival ICT Sekolah-Sekolah 2009 di pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang, Beserah di sini hari ini.

Karnival itu dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Telekom Malaysia Berhad (Telekom).

Abdul Aziz berkata, sekiranya sasaran untuk mewujudkan suasana ICT di sekolah itu menjadi kenyataan, ia secara tidak langsung mengurangkan beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh guru di Pahang selain menjadikan mereka lebih efektif.

Misalnya kata beliau, ketika ini guru perlu mencari bahan atau maklumat yang ingin diajar kepada pelajar tetapi dengan adanya kemudahan ICT, segalanya boleh diperoleh di komputer.

Sehubungan itu jelas beliau, guru akan mempunyai lebih ruang mendekati pelajar dalam usaha mereka membantu, membimbing dan menerap nilai-nilai murni kepada mereka.

Tambahnya, suasana ICT juga akan memberi lebih keselesaan kepada pelajar kerana ruang pembelajaran mereka tidak lagi terhad di bilik darjah sebaliknya proses pembelajaran mereka berterusan pada setiap masa.

''Dengan adanya kemudahan ICT, pelajar boleh belajar atau bertanya soalan kepada guru ketika di rumah atau di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai kemudahan Internet.

''Ibu bapa juga tidak lagi perlu menanggung kos kelas tambahan kerana anak-anak boleh belajar di rumah dengan pemantauan mereka sendiri," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 80 peratus sekolah di negeri ini telah dilengkapi ICT dan pihaknya menjangkakan semua sekolah di Pahang akan mempunyai kemudahan itu menjelang tahun depan.

Utusan Malaysia Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: