Selasa, 26 Mei 2009

Mutakhir: Pengumuman PPSMI dalam beberapa minggu lagi

PUTRAJAYA: Keputusan mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau sedang memuktamadkan laporan mengenai isu itu sebelum memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan dibentangkan kepada Kabinet.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan laporan yang akan dibentangkan kepada Kabinet itu mengandungi pelan komprehensif dan bukan sekadar keputusan.

"Saya mahu semua orang gembira dengan pelan itu dan pada masa sama berpuas hati dengan dasar kementerian.

"Saya mesti pastikan semua sumber, infrastruktur disediakan, ibu bapa gembira anak mereka tidak menjadi mangsa dan paling penting ia akan mencapai dasar pengajaran kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan tujuh pertubuhan Cina mengenai isu pendidikan di pejabatnya di sini. - Bernama

Berita Harian Online: 26 Mei 2009

Tiada ulasan: