Isnin, 25 Mei 2009

Sentral: Guru perlu berhemah tangani masalah

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my

Minat profesion, tak jemu mendidik jadi prinsip Tokoh Guru Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Guru yang baik perlu mempunyai jati diri supaya boleh mendidik dan menangani masalah pelajar dengan berhemah. Itulah prinsip dipegang penerima anugerah Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009, Rashedah Md Yassin.

Rashedah, 61, seorang daripada tiga penerima anugerah disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sempena Majlis Perayaan Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009 yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Johor melahirkan rasa syukur, terharu dan gembira menerima anugerah itu dan menyatakan kerjaya sebagai pendidik memberikannya kepuasan yang tidak terhingga.

“Saya memang minat dengan profesion perguruan. Minat yang mendalam itulah menyebabkan saya tidak pernah berasa penat atau jemu mendidik anak bangsa walaupun pelbagai masalah dan dugaan datang kerana saya tahu guru adalah satu kerjaya yang mulia.

“Sekali kita menjadi guru, kita adalah guru selamanya kerana bakti mendidik itu akan berterusan dan diturunkan dari generasi ke generasi.

“Berikutan itu, saya harap guru pada hari ini menghayati profesion yang mulia ini dan mengajar dengan penuh minat supaya dapat melahirkan anak didik yang berjaya sekali gus menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Rashedah yang berkhidmat sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara sebelum bersara berkata, sepanjang 34 tahun membabitkan diri dalam bidang perguruan, beliau tidak mempunyai kenangan pahit.

“Ini kerana saya selalu berfikiran positif dan menganggap sebarang dugaan serta masalah yang timbul itu datang dari Allah untuk menguji kita.

“Apatah lagi, sepanjang bergelar guru, saya selalu mendapat sokongan penuh daripada keluarga, rakan-rakan dan guru lain menyebabkan saya tidak pernah menganggap perkara buruk yang berlaku sepanjang tempoh berkhidmat sebagai pengalaman buruk sebaliknya ia adalah satu pengalaman berharga,” katanya.

Turut menerima anugerah sama ialah bekas Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Raja Amzah Raja Sohot dan bekas Guru Besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT), K Kaniappan.

Pada majlis sama, Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada bekas pengetua Sekolah Menengah St John iaitu Datuk Lawrence T Spitzig manakala guru dari Sekolah Kebangsaan Sentul Utama, Saifuddin Mohamad pula dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya.

Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas pula diberikan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju, Noraini Abdul Ghani manakala Anugerah Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi menjadi milik Pang Chong Leong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lana Davidson.

Berita Harian Online: 25 Mei 2009

Tiada ulasan: