Khamis, 21 Mei 2009

Peranan guru bukan sekadar mengajar

MARAN 20 Mei - Golongan pendidik perlu berperanan sebagai jurutera sosial dan ejen perubahan untuk melahirkan modal insan yang mampu membina sebuah negara bangsa bermaruah pada masa depan.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Zainul Abidin Daud berkata, peranan guru bukan sekadar mengajar tetapi merangkumi keperluan psikologi dan modal insan.

Katanya, kualiti bangsa dan negara pada masa depan terletak di tangan guru.

''Kami menaruh keyakinan terhadap keupayaan pendidik merealisasikan misi dan visi Kementerian Pelajaran untuk melahirkan pelajar berpendidikan, berilmu, bermaruah dan bertakwa,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan tugas jawatan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 yang disandangnya sebelum ini kepada Pengetua baru, Saimah Hassan di SMK Jengka 18 di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jengka 18, Aminallah Mat Long dan Ketua Peneroka Felda Jengka 18, Samad Samah.

Zainul Abidin mengingatkan bahawa di bahu guru terletak harapan menggunung ibu bapa, kerajaan dan masyarakat untuk membangunkan modal insan yang cemerlang dan gemilang.

''Sebelum ini, guru sebagai pendidik terbukti memainkan peranan penting dalam membina negara bangsa bermaruah dan stabil serta mampu bersaing dengan negara maju,'' katanya.

Beliau menambah, kecekapan dan keberkesanan guru juga diperlukan menerusi aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik, menanamkan sifat hormat-menghormati dan peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

''Pelaksanaan program ini menuntut kerjasama dan komitmen guru untuk menerapkan elemen perpaduan dan menjadi legasi keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 21 Mei 2009

Tiada ulasan: