Selasa, 19 Mei 2009

Jasa guru memang tidak mampu dibalas

SEREMBAN 18 Mei - Secara pasti satu hari yang dikhususkan bagi menyambut Hari Guru memang tidak memadai dengan pengorbanan serta jasa guru yang ditaburkan dalam mendidik para pelajar selama ini.

Begitulah rintihan beberapa pelajar Sekolah Menegah Tunku Ampuan Durah yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini sempena menyambut Hari Guru.

Seorang pelajar, Mohd. Syafiq Zaharuddin, 14 berkata, pengorbanan dan jasa bakti guru sememangnya terlampau besar untuk dibalas.

''Sambutan sehari ini tidak mencukupi untuk membalas jasa mereka (guru) yang tidak pernah jemu untuk membentuk kami menjadi insan yang berguna kelak.

''Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab pelajar itu sendiri untuk membalasnya dengan kecemerlangan dan kejayaan kita," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, jasa dan pengorbanan guru dalam memberikan pendidikan terbaik serta menyemai akhlak mulia di kalangan pelajar tidak akan dapat dilupakan.

Seorang lagi pelajar, P. Barath, 14, berkata, pengorbanan dan jasa guru akan menjadi sia-sia sekiranya ilmu dan nasihat yang diterapkan tidak diaplikasikan.

''Teguran dan kritikan guru adalah untuk membina dan bukannya untuk menjatuhkan seseorang pelajar itu.

''Sekiranya kita ingkar, ia seolah-olah mensia-siakan usaha mereka untuk menjadikan kita orang yang cemerlang dan berjaya dari segala aspek," jelas Barath.

Katanya, jasa guru yang ditabur terhadap pelajar terlampau banyak dan sememangnya tidak mencukupi sekiranya pelajar hanya sekadar mengingati pengorbanan mereka pada Hari Guru.

Seorang lagi pelajar, Kong Kah Yee, 14 berkata, beliau berazam untuk menjadi seorang individu yang berguna demi membalas jasa dan bakti yang ditaburkan guru.

''Mereka (guru) mengajar kita pelbagai ilmu, bukan saja akademik malah dari segi sahsiah dan jati diri dan ini perlu kita balas menerusi kejayaan pada masa depan." ujar Kah Yee.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009

Tiada ulasan: