Selasa, 19 Mei 2009

Sambutan Hari Guru SKBU2 meriah


Sebahagian daripada guru SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru memotong kek sempena sambutan Hari Guru di sekolah itu, semalam. - UTUSAN/Baazlan Ibrahim


JOHOR BAHRU 18 Mei - Sebanyak 90 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru UDA 2 (SKBU 2) di sini diraikan oleh 1,642 murid sempena sambutan Hari Guru hari ini.

Guru Besarnya, Fauziah Hassan berkata, pelbagai acara diadakan antaranya bacaan perutusan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah yang disampaikan di sekolah berkenaan.

"Acara kemuncak bagi meraikan hari paling bermakna ini diserikan dengan pemotongan kek dan menandatangani banner Hari Guru.

"Sebagai menghargai pengorbanan dan jasa guru dalam mendidik anak bangsa kita telah menyediakan 15 anugerah kepada guru-guru berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia, pada majlis sambutan itu di sini hari ini.

Jelas Fauziah, antara anugerah itu ialah guru aktif, guru inovatif, guru popular, panitia aktif, tandas terbaik, guru harapan, bilik khas terbaik dan banyak lagi.

Menurut beliau, pada keseluruhannya sambutan yang cukup bersederhana ini cukup bermakna, kerana ia berjaya mewujudkan suasana dan hubungan yang akrab antara guru dan murid-murid.

"Saya juga bersyukur sempena kita meraikan sambutan Hari Guru, sekolah kami dipilih sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan 2008 peringkat Kebangsaan, yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md. Dom," katanya.

Fauziah berkata, dengan pemilihan itu bermakna sekolah SKBU 2 akan mendapat pelbagai keistimewaan termasuk penambahan geran tahunan, mempelajari pelbagai bahasa untuk murid-murid, mengadakan lawatan ke tempat-tempat tertentu.

"Kami merasakan ini juga merupakan hadiah yang cukup bermakna kepada para guru kerana hanya dalam usia 18 tahun sekolah tersebut telah dipilih sebagai sekolah kluster," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2009

Tiada ulasan: