Rabu, 13 Mei 2009

Yuran tambahan, buku kerja beban ibu bapa berpendapatan rendah

SESI persekolahan awal tahun ini yang sepatutnya menimbulkan perasaan kegembiraan di kalangan ibu bapa kerana penghapusan yuran peperiksaan dan buku teks percuma kepada pelajar tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa mereka.

Namun, masalah yuran tambahan atau 'yuran aksesori' yang dikenakan pihak sekolah didakwa terlalu tinggi dan membebankan ibu bapa berpendapatan rendah, malah ada sesetengah yuran yang dikenakan langsung tidak masuk akal.

Yuran 'aksesori' merangkumi yuran sekolah, komputer, PIBG, keselamatan, buku kerja, yuran khas dan berpelbagai lagi yuran yang boleh mencecah sehingga RM100 hingga RM200 memang menimbulkan persoalan, apakah yang memaksa pihak sekolah mengenakan yuran sedemikian tinggi?

Apa yang jelas, pengurusan sekolah seolah-olah memerlukan wang segera untuk mengatasi peruntukan yang lewat disalurkan Kementerian Pelajaran.

Hakikatnya, sekolah menjadikan pendidikan sebagai suatu 'komoditi perniagaan' yang membuat keuntungan dalam pelbagai aspek dan antaranya yuran buku kerja.

Yuran buku kerja berkenaan memang menguntungkan pengedar buku kerja sekolah yang pasti mendapat pulangan lumayan hasil daripada pasaran besar iaitu pelajar sekolah dari seluruh negara.

Contohnya, ada sekolah menetapkan pelajarnya supaya membeli sehingga 10 buku kerja, malah ada sekolah mewajibkan pelajar membeli sehingga 20 buku kerja, namun sehingga hujung tahun, hanya separuh daripada buku kerja itu habis digunakan.

Bagi sekolah, tindakan sedemikian tidak merugikan pihaknya tetapi keperitan pasti ditanggung oleh ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Pengedar buku latihan yang tidak bertanggungjawab turut menawarkan komisyen yang banyak kepada guru besar atau pengetua sekolah dalam usaha untuk memperkenalkan buku kerja di sekolah.

Komisen itu dikatakan boleh mencapai 30 sehingga 40 peratus daripada jumlah jualan buku.

Membiarkan pengurusan sekolah memutuskan jumlah buku kerja yang perlu dibeli pasti akan memberikan ruang bagi penyelewengan dan rasuah.

Ia sama dengan keadaan jika pengurusan sekolah dibenarkan menentukan bayaran yuran tambahan.

Walaupun Kementerian Pelajaran menyifatkan pembayaran yuran tambahan itu sebagai tidak wajib, pasti akan wujud unsur paksaan oleh pihak sekolah agar pelajar membayar yuran itu sekali gus. Ia satu bentuk penindasan secara halus oleh sekolah terhadap keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap apa juga keputusan Kementerian Pelajaran yang akan dilaksanakan pada Jun nanti akan turut memastikan yuran aksesori seperti yuran buku kerja, yuran keselamatan dan bermacam-macam lagi yang tidak masuk akal, akan dihapuskan demi meringankan beban ibu bapa.

SM MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang
Pulau Pinang.

Berita Harian Online: 13 Mei 2009

Tiada ulasan: